Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DAP gagal tunai janji, kos sara hidup kian menekan rakyat
  • SEMASA

DAP gagal tunai janji, kos sara hidup kian menekan rakyat

Utusan Sarawak 9 hours ago
KAUNTER RAKYAT…Wong (berdiri, lima kanan) merakamkan kenangan bersama pasukannya semasa Program Kaunter Perkhidmatan Bergerak SUPP di Sibu, hari ini. Foto: Tarani Lanting

SIBU: Pemimpin dan menteri daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) digesa menunaikan janji-janji yang dibuat sebelum memegang sebarang kuasa, khususnya dalam menangani isu peningkatan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat.

Penolong Setiausaha Publisiti dan Penerangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat, Wong Ching Yong berkata, DAP sebelum ini sering menjanjikan penurunan harga barang namun kini gagal menunaikan janji tersebut selepas berada dalam kerajaan.

“DAP bukan sahaja gagal menurunkan harga barang seperti dijanjikan malah memperkenalkan pelbagai dasar baharu yang menambahkan beban rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Program Kaunter Perkhidmatan Bergerak SUPP Cawangan Dudong dan Sibu Jaya, hari ini.


Menurut beliau, antara dasar yang menjadi perhatian ialah peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1Julai ini, kenaikan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia sebanyak 14.2 peratus serta penyesuaian subsidi bahan api dan gas yang dijangka mencetuskan gelombang baharu kenaikan harga barang.

“Setakat ini, tiada sebarang tindakan berkesan daripada menteri-menteri Pakatan Harapan termasuk Timbalan Menteri Kewangan dari DAP, Lim Hui Ying yang nyata gagal memainkan peranan dengan baik,” katanya.


Mengulas lanjut, Wong berkata peluasan skop SST itu akan melibatkan pelbagai sektor termasuk penyewaan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan industri kecantikan, dengan kadar cukai perkhidmatan turut dinaikkan daripada enam kepada lapan peratus.


Katanya, walaupun kerajaan mendakwa impaknya terhadap golongan berpendapatan rendah adalah minimum realitinya berbeza berdasarkan laporan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang menyatakan bahawa kira-kira 97 peratus produk akan terkesan.


Wong turut membidas langkah kerajaan mengenakan cukai ke atas buah-buahan import seperti epal, oren, pir, mangga dan kurma yang menurutnya adalah sebahagian daripada diet harian rakyat berpendapatan rendah.


“Kerajaan menyatakan hanya buah ‘mewah’ dikenakan cukai, tetapi senarai tersebut adalah buah rutin harian rakyat termasuk golongan B40. Ini boleh menjejaskan pemakanan dan kesihatan mereka,” ujarnya.

Mengulas situasi di Sarawak, beliau berkata walaupun negeri itu tidak terkesan dengan kenaikan tarif elektrik hasil pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS), peningkatan kos pengeluaran di Semenanjung dijangka turut mempengaruhi harga barangan di negeri ini.


“Sarawak masih bergantung kepada banyak barangan dari Semenanjung. Kenaikan kos pengangkutan dan pengeluaran di sana akan menaikkan harga barang di sini,” katanya.

Tambah Wong, dasar fiskal kerajaan masa kini memberi tekanan berganda kepada golongan B40 yang membelanjakan lebih 85 peratus pendapatan bulanan mereka bagi keperluan asas.


“Lebih rendah pendapatan, lebih besar impak SST. Ini bukan keadilan sosial, ini eksploitasi terselindung,” katanya sambil menyifatkan pemimpin DAP sebagai naif atau hidup dalam penafian jika masih menafikan hakikat tersebut.


Beliau turut mempersoalkan cukai lapan peratus ke atas perkhidmatan kecantikan, yang menurutnya membebankan wanita berpendapatan rendah.

“Adakah wanita B40 tidak berhak menjaga penampilan diri? Ini boleh mendorong kepada penggunaan perkhidmatan tidak berlesen dan berisiko terhadap keselamatan awam,” tegasnya.

Dalam pada itu, Wong turut menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan Rangka Kerja Audit Duti Setem oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula Januari 2025, yang mensyaratkan kontrak pekerjaan perlu disetem dan duti dibayar oleh majikan.

Katanya, walaupun jumlah duti hanya RM10 bagi setiap kontrak, denda akibat kelewatan boleh mencecah RM100 dan akan menjadi beban besar jika berlaku kesilapan melibatkan ramai pekerja.

“Pengecualian hanya diberi kepada pekerja bergaji di bawah RM300 sedangkan gaji minimum negara ialah RM1,700. Ini tidak munasabah,” katanya.

Wong turut mendesak DAP selaku parti dengan bilangan kerusi terbesar di Parlimen supaya memainkan peranan menghentikan gelombang kenaikan harga barang.


Dalam nada sinis, beliau mempersoalkan keberkesanan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau dalam menyuarakan isu rakyat.

“Adakah beliau masih ada masa menikmati ‘Mee Sua’ sedangkan rakyat kini bergelut dengan kos sara hidup? Semasa Gawai, berapa banyak rumah panjang beliau lawati dan berapa banyak masalah rakyat yang telah diselesaikan?” soal beliau.

Oleh Tarani Lanting

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Gajah Borneo bukan gajah ‘Pygmy’ yang wujud pada zaman ais
Next: KKDW tubuh jawatankuasa khas pantau projek pembangunan luar bandar Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.