SARIKEI: Peruntukan Program Tranformasi Luar Bandar (RTP) dari Kerajaan Sarawak berupaya mempercepatkan pelaksanaan projek yang diperlukan oleh rakyat.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana besar untuk pembangunan prasarana dan pendidikan sekolah.
“Ketika ini Kerajaan Sarawak sedang giat melaksanakan projek pembinaan jalan dari Sarikei menuju ke Tanjung Manis, projek agro, pusat pengumpulan hasil pertanian dan lain-lain lagi.
“Tidak cukup dengan itu, pelaksanaan pelbagai projek pembangunan baharu di kawasan ini membuktikan komitmen padu kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Sentral Sarikei, malam kelmarin.
Huang yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok ketika mengulas tentang kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata bahawa Abang Johari adalah seorang pemimpin yang berpandangan jauh dan berwibawa.
“Apa yang kita lihat hari ini, Sarikei semakin maju dan membangun di bawah pimpinan Abang Jo.
“Pelaksanaan pelbagai projek pembangunan baharu di kawasan ini membuktikan komitmen padu Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan untuk penduduk setempat,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, sebagai wakil rakyat, beliau tetap akan berusaha memohon peruntukan untuk melaksanakan pelbagai projek rakyat di DUN Repok termasuk menaiktarafkan prasarana gereja, tokong dan lain-lain lagi.
“Pada masa yang sama, saya juga tetap meneruskan tradisi menyumbang katil boleh laras dan peralatan persekolahan termasuk pakaian seragam bagi membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan.
“Saya amat mengutamakan pendidikan dan akan terus membantu atas kapasiti saya sebagai wakil rakyat.
“Sehubungan itu, saya berharap semua pihak perlu mengukuhkan kerjasama dan apa yang paling penting, kita mesti kekal bersatu bagi memastikan parti GPS terus kukuh,” katanya lagi.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Temenggong Lau Hieng Ping, Pengerusi Majlis, Tuai Rumah Pitre Ambit Tayup merangkap Penyelaras Zon D dan ahli-ahli SUPP Cawangan Sarikei.
Oleh Earl Anek