SRI AMAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana sebanyak RM50,000 menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk menaik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Selanjan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata kelulusan peruntukan itu menunjukkan keprihatinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membantu menyediakan kemudahan pendidikan yang sempurna.
Beliau berkata, Kerajaan GPS akan terus komited untuk membantu meningkatkan prasarana dan akses pendidikan yang berkualiti di negeri ini.
“Saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini, akan bantu apa sahaja program yang memberi manfaat bagi meningkatkan kualiti pendidikan pelajar di DUN Bukit Begunan ini khasnya,” katanya semasa Majlis Merarau di Dewan Serbaguna SK Selanjan di sini.
Menurut Mong, kerajaan GPS juga sentiasa komited untuk menaik taraf serta memperbaiki sistem pendidikan di negeri ini dengan tidak meminggirkan mana-mana sekolah termasuk sekolah di kawasan luar bandar seperti di DUN Bukit Begunan.
“Ia kerana Kerajaan Sarawak, sedar akan pentingnya pendidikan untuk mengubah taraf hidup masyarakat luar bandar lebih-lebih lagi dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi,” ujar beliau.
Tegasnya, sekolah-sekolah di kawasan luar bandar perlu diberikan bantuan dan kemudahan setara dengan sekolah di bandar, bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran.
Sementara itu, Mong mahu ibu bapa di kawasan berkenaan menitikberatkan pendidikan kepada anak masing-masing.
Malah katanya, kreativiti pendidik untuk mendidik anak-anak adalah sangat penting untuk manambah minat mereka belajar.