Di Amerika Syarikat, pembiayaan dana politik dibenar untuk diberikan kepada parti tertentu dengan mengisytiharkan pemberi dana berkenaan. Ia juga mempunyai sistem lobi yang mana duit dibayar kepada orang tertentu sama ada yang mewalili parti Demokrat atau Republican.
Di Jerman dana awam atau wang kerajaan diperuntukkan khusus untuk parti-parti politik. Ia dilaksanakan melalui satu peraturan yang dimasukkan dalam Akta Parti Politik Jerman.
Pemberian peruntukan khusus ini dibuat berasaskan kepada kedudukan dan sokongan sesebuah parti itu dalam masyarakat. Jika parti itu besar dan berpengaruh, maka ia berhak mendapat peruntukan yang lebih besar.
Negara lain yang dianggap mempunyai pengalaman terbaik dan unik dalam reformasi perundangan serta penguatkuasaan peraturan pembiayaan politik adalah
Kanada, Korea Selatan, India, Mexico dan Taiwan.
Di Malaysia, belum ada undang-undang khusus mengenai sumbangan dana politik tetapi usaha ke arah itu yang sudah diuar-uarkan sejak beberapa tahun lalu, sudah ada.
Minggu lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju secara dasar dengan cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun cadangan itu masih perlu dibincangkan dengan ahli Kabinet sebelum sesi libat urus dengan parti-parti politik.
Apa pun, tidak salah untuk meniru kaedah diguna pakai negara lain tetapi disesuaikan dengan keadaan setempat jika dirasakan baik.
RUU itu penting kerana sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik, menyebabkan sesetengah ahli politik berdepan tuduhan di mahkamah sekarang.
Undang-undang itu perlu, bagi mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa membabitkan ahli politik yang memberi impak negatif kepada imej negara dan kerajaan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri mengakui Akta Pembiayaan Dana Politik dapat dijadikan panduan kepada agensi itu untuk membezakan antara dana politik dengan sumbangan kepada parti atau ahli politik yang boleh dikategorikan sebagai rasuah.
Mungkin sukar untuk SPRM membezakan pemberian dana politik dengan rasuah. Perkara ini juga perlu definisi tepat.
Apabila RUU Sumbangan Politik dijadikan undang-undang, maka apa-apa tindakan termasuk derma atau sumbangan orang ramai, persendirian mahupun syarikat kepada pemimpin politik adalah ‘dihalalkan’ seperti di Amerika Syarikat, sekali gus ia tidak boleh lagi dikaitkan dengan rasuah.
Satu lagi yang perlu dimasukkan dalam peraturan baharu itu nanti ialah larangan bagi parti atau pemimpin politik menerima sumber kewangan dari luar negara.
Umum tahu selama ini ada pemimpin dan parti politik menerima dana untuk tujuan kempen pilihan raya daripada syarikat dan tauke tertentu, dan ia lazimnya dibuat secara sembunyi.
Ungkapan ‘saya bantu anda hari ini, esok bila berkuasa, anda bantu saya pula’, bukanlah sesuatu yang tidak lazim.
Oleh itu, peraturan baharu itu nanti perlu jelas dan terperinci. Maklumlah, ahli politik kadang-kala suka melakukan sesuatu dengan alasan ‘tidak disebut secara khusus’ dalam undang-undang untuk ‘menghalalkan’ aktiviti mereka.
Bentuk dana atau sumbangan politik perlu diperhalusi seperti derma atau apa-apa bentuk pendanaan dan pembiayaan yang mesti dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang.
Ia sama seperti istilah ‘politik wang’ dan ‘wang politik’. Contohnya, memberi sampul surat mengandungi wang tunai untuk mengundi calon tertentu masa pilihan raya dianggap rasuah.
Bagaimana pula menaja bas, van, teksi, bot laju atau bot ekspres untuk membawa pengundi bagi membolehkan mereka mengundi? Sebelum ini, ia dikira sebagai ‘wang politik’ yang lazimnya dikatakan bukan kategori rasuah kerana keperluan untuk orang ramai yang pergi mengundi.
Berdasarkan pengalaman ketika membuat kajian mengenai politik Amerika Syarikat di Washington DC, New York, New Jersey, Los Angeles, Columbia dan Colorado kira-kira 20 tahun lalu, didapati politik Amerika Syarikat begitu matang.
Malah pada hari mengundi, pengundi hanya perlu berdiri di tepi jalan kerana ada bas atau van akan membawa mereka ke pusat mengundi. Sistem dua parti di Amerika Syarikat memberi kelebihan kepada pengundi dan sukar untuk mengubah pendirian terutama bagi penyokong tegar.
Orang Amerika tak kisah soal remeh peribadi calon atau parti, asalkan dasarnya menguntungkan mereka.
Malaysia boleh belajar dari negara lain, ambil bab yang sesuai untuk keadaan setempat.
Semua ini juga, termasuk bab pengangkutan awam, meskipun nampak kecil, perlu turut dijelaskan yang mana boleh dan tidak boleh dilakukan dalam undang-undang baharu dana politik nanti.
Definisi jelas perlu ada dalam RUU itu dan sudah tentu pembabitan semua pihak perlu supaya sebarang sumbangan, dana, pembiayaan, pemberian dan derma tidak dikatakan sebagai unsur rasuah.
Sebenarnya, sejak zaman Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, sudah dirancang isu mahu memperkenalkan undang-undang sumbangan politik.
Namun, pembangkang ketika itu membantah kerana khuatir pemberi dana politik disenarai hitam daripada mendapat projek kerajaan.
Bagi sesetengah ahli politik, adalah tidak adil untuk parti jika ada mana-mana pihak menyumbang dengan ikhlas dikira sebagai rasuah.
Misalnya, kontraktor yang mendapat tender secara terbuka (bukan rundingan terus) di sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), pasti mahu menyumbang sedikit sebanyak rezekinya secara ikhlas kepada wakil rakyat di kawasan itu bagi membiayai sedikit kewangan untuk kempen.
Selama ini isu berkaitan dengan dana yang diterima oleh kebanyakan parti politik untuk berhadapan pilihan raya menelan belanja yang besar mencecah jutaan ringgit. Ini bukan rahsia lagi.
Ketika pilihan raya, kempen komunikasi yang canggih dan memerlukan kos tinggi bagi sesetengah parti politik melebihi had yang ditentukan oleh Suruhanjaya Pihan Raya (SPR).
Namun ‘terlepas’ kerana tidak dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang khusus yang mampu mengheret ke mahkamah.
Antara undang-undang yang diguna pakai di Malaysia adalah SPR menetapkan had maksimum RM100,000 untuk berkempen dibenarkan bagi mereka yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan RM200,000 untuk calon yang bertanding kerusi Parlimen.
Bakal calon juga perlu membayar deposit sebanyak RM10,000 bagi calon Parlimen dan RM5,000 bagi calon kerusi DUN.
Had perbelanjaan ini juga perlu dikaji semula untuk disesuaikan dengan keadaan.
Mengikut Seksyen 27 (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, penyata perbelanjaan kempen oleh setiap calon hendaklah diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri dalam tempoh 31 hari selepas keputusan diwartakan.
Betulkah atau dipatuhi ke jumlah perbelanjaan dibenarkan ialah RM200,000 untuk kerusi Parlimen dan RM100,000 bagi kerusi DUN?.
Betul ke belanja sebanyak itu? Selama mana kita harus menipu diri sendiri dengan meletakkan had itu dalam penyata perbelanjaan kempen atau Borang B lengkap dengan bukti perbelanjaan, untuk diserah kepada SPR semata-mata bagi memenuhi tuntutan undang-undang?.
Sesetengah calon terutama di Sarawak dan Sabah sanggup menyewa helikopter dari Manila atau Jakarta untuk berkempen.
Pernahkah resit sewa helikopter ini dimasukkan dalam penyataan perbelanjaan? Jika pernah, pasti satu kesalahan kerana berbelanja lebih daripada dibenarkan.
Jika tidak pernah, apakah pihak audit SPR terima saja penjelasan dalam penyata perbelanjaan? Oleh itu, elok dinaikkan had atau sudah tidak perlu lagi berbuat demikian apabila wujud peraturan bertulis membenarkan pembiayaan dana untuk semua parti politik?.
Beberapa negara serantau sebenarnya sudah menaikkan had perbelanjaan berkempen calon ketika pilihan raya di negara masing-masing sejak 2011 lagi.
Di Singapura, sejak 2011, calon hanya boleh membelanjakan S$3.50 (RM11.20) bagi setiap pengundi dalam kawasan Parlimen ditandingi.
Di India, mulai Februari 2011, Kerajaan Pusat menaikkan had belanja kempen, iaitu Rs4 juta (RM226, 672) untuk kerusi Parlimen berbanding Rs2.5 juta (RM141,670) sebelum ini.
Semua ini perlu dilihat semula oleh pihak berkuasa termasuk SPR dalam usaha memantapkan lagi sistem pilihan raya negara kita.
Mansuhkan segala peraturan yang dikira sudah tidak relevan atau peraturan yang boleh memerangkap atau tidak munasabah.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak