
MIRI: Usaha kutipan dana bagi pembedahan implan koklea untuk dua kanak-kanak kurang pendengaran berjaya melepasi separuh daripada sasaran RM200,000 dalam tempoh hanya 13 hari, dengan jumlah sumbangan setakat ini mencecah RM125,579.51.
Dua kanak-kanak berkenaan, Flora Lee Kai Shuan, 5, dan Andy Harrison, 3, sedang berlumba dengan masa untuk menjalani prosedur tersebut sejak kempen dilancarkan pada 24 Mac lalu, yang menerima sokongan menggalakkan daripada orang ramai.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Pengerusi Persatuan Implan Koklea Miri, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, melahirkan penghargaan kepada para penyumbang sambil mengumumkan perkembangan terkini kutipan dana hari ini.
“Kita telah melepasi separuh daripada sasaran, dan saya yakin jumlah ini mampu dicapai sepenuhnya dalam tempoh seminggu lagi,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa setakat jam 11.00 pagi tadi, jumlah kutipan dalam akaun bank adalah RM104,279.51. Dengan tambahan sumbangan hari ini sebanyak RM21,300, jumlah keseluruhan kini meningkat kepada RM125,579.51.
Antara sumbangan hari ini termasuk kutipan RM14,000 oleh 29 persatuan dan kumpulan tarian, manakala penganut serta penyokong Persatuan Penganut Dewa Some Shak Lung Kong Miri menyumbang RM6,300.
Seorang penderma individu yang hanya dikenali sebagai Voon, turut menyumbang RM1,000.
Sebastian menyifatkan sokongan yang diterima dari Miri dan luar kawasan sebagai satu “hadiah kasih sayang” kepada kedua-dua kanak-kanak itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang membuat persiapan bersama doktor bagi menjadualkan pembedahan tersebut.
Setelah sasaran kutipan dana dicapai, prosedur akan dilaksanakan secepat mungkin bagi memberi peluang kepada mereka untuk mendengar semula dan menjalani kehidupan normal.
“Implan koklea ini akan membolehkan mereka mendengar bunyi semula termasuk muzik dan perbualan harian, yang amat penting untuk perkembangan mereka,” katanya.
Beliau sekali lagi merakamkan penghargaan kepada semua penderma, organisasi dan penyokong atas keprihatinan serta kemurahan hati yang telah membawa sinar harapan baharu kepada kedua-dua kanak-kanak itu.
Oleh Liong Chai Ling