
BEKENU: Dasar Agromakanan Negara (DAN) 1.0 telah digubal bagi tempoh 2011 hingga 2020 dengan visi untuk mentransformasikan sektor agromakanan menjadi sebuah industri yang lebih maju, berdaya saing dan dinamik.
Dengan berakhirnya tempoh pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 1.0 (DAN 1.0), Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) telah digubal bagi menetapkan hala tuju baharu dalam menangani cabaran semasa yang dihadapi sektor agromakanan negara. Dasar ini turut mengambil kira impak krisis global, termasuk pandemik COVID-19, terhadap tahap sekuriti makanan negara.
Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, fokus utama Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) adalah berteraskan pelbagai dimensi sekuriti makanan bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.
Ia turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan nutrisi makanan, ketahanan rantaian nilai, serta peningkatan tahap sosioekonomi dalam kalangan pengeluar makanan.
Selain itu, penekanan turut akan diberikan kepada aspek-aspek pelaksanaan dasar secara berkesan dengan memperkukuh penglibatan bersama pihak berkuasa di peringkat negeri serta kolaborasi dengan penggerak industri.
Beliau berkata demikian semasa Program Pengukuhan myKomuniti Perikanan (myKP) yang berlangsung di Balai Raya Kampung Kuala Sibuti, di sini, hari ini.
Tambahnya, salah satu daripada Aspirasi Negara bagi sektor Agromakanan Malaysia 2030 ialah Tahap Sara Diri (SSL).
“Tahap sara diri merupakan satu kompenen utama sekuriti makanan dan berfungsi sebagai penunjuk untuk mengukur kemampuan sesebuah negara untuk memenuhi keperluan makanan daripada pengeluaran domestiknya sendiri.
“Kerajaan Malaysia telah menetapkan sasaran SSL bagi komoditi makanan utama untuk dicapai menjelang tahun 2030. Sasaran SSL ialah sasaran yang bergerak yang perlu dipantau dan diurus secara aktif.
“Sukacita dimaklumkan bahawa industri perikanan dan akuakultur merupakan salah satu subsektor utama di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0 selain daripada subsektor padi, beras, buah dan sayur serta ternakan.
“Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021 – 2030) telah digubal untuk membangunkan sektor agromakanan yang mapan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi dalam usaha bagi memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti makanan yang mana matlamat untuk mencapai jumlah pengeluaran ikan negara 2.55 juta tan metrik dan kadar sara diri (SSL ) mencapai 97.8 peratus menjelang 2030,” jelasnya lagi.
Turut hadir wakil Pengarah Bahagian Pengembangan Perikanan Jabatan Perikanan Malaysia, Putrajaya Johari Tim, Ketua Kaum Kampung Kuala Sibuti Abdullah Yaman, Ketua Wilayah Perikanan III, Miri Jabatan Perikanan Laut Sarawak Muhammad Saini Suliansa dan Pengerusi myKP Kuala Sibuti Mohammad Zaidi Abdullah.
Oleh Adum Liu