DALAT adalah sebuah daerah pertanian yang terkenal dengan pokok rumbia, nanas, kelapa sawit dan buah-buahan tempatan.
Kebanyakan daripada penduduknya terlibat dengan aktiviti pertanian, pembalakan, perikanan dan juga bekerja dalam sektor awam dan swasta.
Daerah ini juga meletakkan diri dalam perdagangan antarabangsa sebagai pengeluar tepung sagu terbesar di dunia dengan empat buah kilang sagu yang mempunyai pengeluaran lebih daripada 74 tan sehari.
Pekan Dalat yang mempunyai hampir semua kemudahan asas membuatkan ia sentiasa sibuk dengan potensi untuk menjadi antara bandar utama di Sarawak pada suatu hari nanti.
Antara kemudahan yang menjadi kebanggaan penduduk tempatan ialah Kompleks Kebajikan Dalat, Oya Square, Mii Udang, Pekan Sabtu, Pekan Warisan Oya, Oya Walk, Taman Harmoni, Galeri Warisan Melanau Oya, dan Bazaarnita Fatima Dalat, dengan projek yang akan dilaksanakan ialah CENTEXS Dalat, Taman Solidariti, Dalat One Stop Service Center, Tebingan Fasa 3, dan Kompleks Lembaga Industri Nipah dan Sagu Sarawak (LINAS).
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Dalat untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) Ke-12 ini, Dato Sri Fatimah Abdullah menyatakan beliau berharap supaya kawasan Dalat terus maju ke tahap yang setinggi mungkin, dengan ikon terkini `Menuju Puncak’ yang diilhamkan beliau sebagai pembayang dan pendorong ke arah itu.
“Seperti ikon terbaru kita iaitu `Menunju Puncak’ kita mahu Dalat maju dalam semua aspek termasuk dari segi kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air dan sebgainya. Oleh kerana kawasan kita terus berkembang yang juga akan menjurus kepada pertumbuhan dari segi populasi penduduk dan semestinya rumah juga akan bertambah,” katanya.
Maka beliau berharap jalan raya dari Klid ke Narub yang kini dalam status `projek sakit’ berikutan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) Covid-19 dahulu, akan kembali pulih dan berjalan lancar semula mulai tahun depan agar keseluruhan kawasan akan dihubungi dengan jalan raya.
“Mulai tahun depan capaian internet juga akan dipertingkatkan. Kita harus menerima hakikat bahawa hidup dengan norma baharu yang kita hadapi ini telah menunjukkan betapa pentingnya perkara ini (jaringan internet) yang menyaksikan urusan atas talian sudah sampai ke tahap kemudahan yang sangat diperlukan bagi masyarakat,” ujarnya.
Sebagai bekas guru, beliau juga memfokus tentang pentingnya pendidikan dan menyatakan penubuhan Jawatankuasa Pendidikan sendiri buat kawasan Dalat telah memperlihatkan keseriusan beliau dalam memertabatkan bidang tersebut demi untuk kesejahteraan masyarakat tempatan.
“Kita tidak mahu peluang anak-anak untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang setinggi mungkin terbantut. Kita bukan hanya memfokuskan tahap ini sahaja dan malah dari peringkat pendidikan awal kanak-kanak lagi. Apa yang penting juga mesti ada pendekatan yang inklusif dengan memastikan semua golongan mendapat pendidikan terbaik,” tambahnya.
Fatimah juga menekan tentang status sosial ekonomi terutama memperkasa masyarakat melalui latihan `income generating skill’ dalam kalangan belia dan wanita melalui CENTEXS Dalat dan incubator yang diwujudkan berdasarkan keperluan.
“Mengenai pertanian, saya mengharapkan industri rumbia kita akan berkembang lebih pesat lagi dengan adanya LINAS kelak. Pekebun-pekebun harus melihat kepada produk huluan dan hiliran rumbia ini untuk mempertingkatkan pendapatan, termasuk nipah.
Oleh HENRY B SIYU