PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan saksi daripada tiga individu termasuk seorang kenamaan yang terlibat dalam insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Tindakan itu rentetan SPRM memandang serius dakwaan rasuah yang dikatakan berlaku dalam insiden yang turut melibatkan seorang warga China itu.
“Satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengesahkan perkara ini,” kata sumber SPRM.
Menurut sumber SPRM itu, selain keterangan saksi oleh orang kenamaan, keterangan dua saksi utama warga China juga telah diambil.
Sumber SPRM berkata, beberapa pegawai Jabatan Imigresen yang terlibat juga akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara berkenaan.
Dalam pada itu, menurut sumber, SPRM juga telah mengenal pasti seorang individu yang disyaki menjadi orang tengah dalam urusan “menyelesaikan” kes melibatkan seorang pelancong asing yang dikatakan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen.
“Kami sedang giat mengesan individu yang merupakan ejen yang dikatakan telah meminta wang rasuah sebanyak RM18,000 bagi menyelesaikan kes terbabit,” kata sumber SPRM itu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi hari ini mengesahkan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.
“Semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan berikan masa bagi SPRM untuk melengkapkan siasatan ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kekecohan berlaku di KLIA melibatkan orang kenamaan dikatakan cuba “menyelamatkan” seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan.
Kejadian berkenaan turut tular menerusi media sosial apabila orang kenamaan berkenaan dikatakan masuk ke ruang balai ketibaan itu tanpa memohon pas keselamatan. – Bernama