Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Dakwaan James Chai tidak benar, prosedur siasatan ikut standard – SPRM
  • JENAYAH
  • TEMPATAN

Dakwaan James Chai tidak benar, prosedur siasatan ikut standard – SPRM

Utusan Sarawak 6 hours ago

KUALA LUMPUR: Dakwaan seorang bekas pembantu Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau James Chai yang cuba menggambarkan dirinya sebagai mangsa tindakan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tidak benar.

SPRM menerusi satu kenyataan memaklumkan dakwaan dibuat individu terbabit tidak tepat, mengelirukan serta memberi gambaran salah kepada masyarakat mengenai prosedur siasatan yang dilaksanakan suruhanjaya itu.

“Dakwaan (James Chai) bahawa sidang media tersebut (oleh SPRM) diadakan semata-mata untuk menyasarkan James Chai adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

“Sidang media yang dirujuk merupakan sidang media bulanan SPRM yang diadakan secara berkala bagi memaklumkan kepada pihak media mengenai perkembangan beberapa siasatan yang sedang berjalan,” menurut kenyataan itu, di sini, hari ini. 

Antara kes yang disentuh dalam sidang media berkenaan ialah Op Middlemen, kes e-waste haram yang membabitkan siasatan ke atas Jabatan Alam Sekitar, Op Heart, siasatan melibatkan IJM, serta Op Godfather yang berkaitan kes Toh Puan Nai’mah Ab Khalid, ahli keluarga dan sekutunya.

SPRM menjelaskan pengeluaran Notis Mengesan Individu/Saksi merupakan prosedur siasatan standard suruhanjaya itu serta agensi penguatkuasaan lain dan hanya dikeluarkan setelah usaha menghubungi individu berkenaan termasuk melalui panggilan telefon, lawatan ke alamat terakhir atau kaedah munasabah lain gagal.

“Perlu ditegaskan bahawa Notis Mengesan bukan satu tuduhan jenayah dan tidak membawa sebarang kesimpulan bahawa individu berkenaan telah melakukan kesalahan. Ia satu langkah bagi  mengesan individu yang diperlukan untuk membantu siasatan.

“Dalam siasatan ini, seramai 12 individu termasuk seorang Menteri Persekutuan telah dipanggil dan kesemua telah memberikan kerjasama kepada SPRM. Sekiranya James Chai tiada apa yang hendak disembunyikan, beliau harus tampil untuk memberi kerjasama,” menurut kenyataan itu. 

Suruhanjaya itu memaklumkan sebelum Notis Mengesan Individu dikeluarkan, pegawai penyiasat telah membuat beberapa percubaan untuk menghubungi James Chai yang dikesan berada di United Kingdom termasuk menerusi WhatsApp mulai 24 Februari tetapi tidak menerima sebarang jawapan.

“Setelah beberapa percubaan untuk menghubunginya tanpa respons, akhirnya nombor pegawai penyiasat telah disekat (block) oleh talian kepunyaan James Chai pada 26 Februari.

“Dakwaan bahawa SPRM tidak cuba menghubungi beliau sebelum mengeluarkan notis tersebut adalah tidak benar sama sekali dan cubaan menggambarkan prosedur lazim sebagai zalim adalah tidak wajar serta berniat jahat,” menurut kenyataan itu. 

SPRM menegaskan bahawa tiada sesiapa berada di atas undang-undang dan proses siasatan profesional berasaskan bukti akan diteruskan, sambil mengingatkan individu yang dipanggil membantu siasatan agar memberikan kerjasama penuh dan tidak mengelak atau mewujudkan naratif awam yang mengelirukan. – Bernama

Continue Reading

Previous: Pergaduhan cemar perarakan Chap Goh Meh di Bau, polis kenal pasti suspek
Next: Tun Wan Junaidi hadir majlis Sungkei Perdana di Astana Negeri Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.