TANJUNG MANIS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa jatuh kapal di Muara Rajang, di sini memasuki hari ketiga dengan mangsa, Mustafpa Abdullah @ Moses Mleng, 65, masih belum ditemui.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, mangsa dilaporkan terjatuh dari kapal Danum 126 yang membawa muatan simen pada 1 Januari lalu.
Lokasi kejadian berada kira-kira lima batu nautika dari muara Tanjung Manis.
Komander operasi, PBT II Bangga Baie, bersama pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis memulakan operasi SAR seawal jam 8.30 pagi.
Katanya, pencarian dibahagikan kepada empat sektor dengan pasukan bomba menumpukan kawasan pesisir pantai dari Muara Kuala Rajang hingga ke Pantai Belawai menggunakan bot penyelamat.
“Setakat ini, operasi melibatkan tujuh anggota bomba, satu jentera Kenderaan Tindak Balas Rapid Pantas (RRV) dan satu bot penyelamat.
“Turut membantu adalah pelbagai agensi lain, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin (PPM), dan Unit Pasukan Keselamatan Sarawak (UPKS).
“Mangsa dilaporkan kali terakhir dilihat tidak berbaju dan berseluar pendek hitam. Operasi hari ketiga ditangguhkan pada jam 5.20 petang dan akan disambung semula pada jam 8.00 pagi esok,” katanya.
Keluarga mangsa dan pihak berkuasa meminta agar orang awam yang mempunyai maklumat atau menemui petunjuk berkaitan mangsa supaya segera menghubungi pihak berkuasa.
Operasi SAR turut menerima lawatan daripada Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh yang meninjau perkembangan di Terminal Maritim Tanjung Manis.