KABONG: Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong tidak seharusnya menidakkan pembangunan yang sedang dan telah diusahakan oleh Kerajaan Sarawak serta wakil rakyatnya.
Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Empayang Kabong, John Jemat berkata rakyat harus faham segala proses dan pelaksanaan sesuatu pembangunan di setiap kawasan DUN memerlukan perancangan rapi serta tempoh masa, dan tidak hanya tertumpu di sesebuah kawasan tertentu sahaja.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir, katanya telah merancang dengan begitu rapi agar setiap projek pembangunan yang telah dan akan disalurkan ke setiap kawasan diberi dengan seadilnya.
“Selama beliau mula diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi wakil rakyat di DUN Kabong, banyak pembangunan yang dirancang. Daerah Kabong kini melalui satu perubahan landskap pembangunan terancang, yang saya anggap berjaya merubah daerah ini dalam masa yang begitu singkat.
“Justeru itu, kita sebagai rakyat di DUN Kabong harus memberikan kerjasama kepada beliau (Chee Kadir) untuk meneruskan agenda perjuangan pembangunan di daerah ini terus diambil perhatian.
“Seharusnya kita bagi peluang dan ruang kepada beliau, seperti sedia maklum beliau baharu sahaja menjadi wakil rakyat dalam tempoh lebih empat tahun. Banyak benda dan perkara yang harus diperbaiki, namun beliau telah membuktikan daerah Kabong telah melalui perubahan apabila pelbagai projek pembangunan disalurkan oleh Kerajaan Sarawak sejak DUN Kabong diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Randau PBB N.40 Kabong di Rumah Engkasan Wat, Sungai Pasir dekat sini semalam.
John berkata semua kawasan terutama di kampung dan rumah panjang di DUN Kabong telah disalurkan pelbagai projek pembangunan walaupun ia dilakukan secara berperingkat-peringkat.
“Memang tidak dinafikan, Chee Kadir banyak membawa pembangunan di DUN Kabong, biarpun sesuatu projek itu dilakukan secara berfasa.
“Agak mustahil kepada beliau untuk menunaikan semua permintaan penduduk sekali gus dalam satu-satu masa untuk semua peringkat kampung dan rumah panjang.
“Sudah tentu beliau (Chee Kadir) akan meluluskan sesuatu projek pembangunan itu mengikut keutamaan bagi setiap kampung dan rumah panjang,” ujarnya.
John turut melahirkan rasa kesal dan kekecewaan terhadap beberapa individu yang melemparkan tuduhan kononnya setiap projek pembangunan hanya bertumpu di kawasan Kabong sahaja dan tidak disalurkan ke kawasan Zon Tengah Kabong.
“Kabong merupakan sebuah daerah penuh maka setiap projek pembangunan terutamanya infrastruktur dan prasarana harus diutamakan di kawasan itu, bukan bermakna beliau (Chee Kadir) menidakkan kawasan lain terutamanya di Zon tengah Kabong.
“Saya berharap individu terbabit berhentilah melemparkan tuduhan bahawa pembangunan hanya tertumpu di Kabong sahaja, kerana Chee Kadir tidak pernah mengabaikan setiap kawasan yang beliau wakili untuk diberi pembangunan yang seimbang dan seadilnya,” tegas John.
Oleh Adi Safarman