
KUALA LUMPUR: Sabtu malam menjadi detik bersejarah buat peminat muzik tanah seberang apabila kumpulan legenda Indonesia, Dadali, mempersembahkan konsert sulung mereka di negara ini, mencipta malam penuh magis di ibu negara.
Dikenali sebagai ‘King of Sad Song’, kumpulan yang ditubuhkan pada 2009 itu memukau lebih 1,600 peminat setia pada konsert ‘Dadali – Sebuah Kisah Volume 1’ di Zepp Kuala Lumpur, menyaksikan penonton turut bersenandung bersama-sama 18 lagu yang dipersembahkan sepanjang konsert hampir dua jam tersebut.

Tirai pentas dibuka pada 8.45 malam dengan tayangan montaj perjalanan seni Dadali, sebelum vokalis Dyrga muncul bersama-sama ahli lain, iaitu Boim (gitar), Rickarjd (gitar melodi), Dendi (keyboard), Hendi (bes), dan Obot (dram), membuka persembahan dengan dua lagu penuh emosi Di Saat Sendiri dan Cinta Jangan Kau Pergi.

“Assalamualaikum semua. Thank you so much semuanya sudah datang walaupun di KL banyak tempat yang mengadakan konsert, tapi luar biasa semua di sini kerana bisa menonton. Berikan tepukan gemuruh untuk kamu semua.
“Sebenarnya saya selalu berulang-alik dari Bogor, Jakarta ke Malaysia. Bukan sekadar cinta, tapi tentang hati, semoga lagu-lagu Dadali pernah mengisi kekosongan hatimu semua,” kata Dyrga disambut sorakan gemuruh memantulkan keterikatan emosi antara peminat dan lagu-lagu mereka.

Malam itu menjadi lebih bermakna apabila Dyrga tampil berbusana songket lengkap dan membawakan Dikir Rambong dalam dialek Kelantan bersama-sama kumpulan dikir barat BaiZam Generation, mengimbau kenangan manis persembahannya di Gegar Vaganza musim ke-11 baru-baru ini.
Konsert diteruskan dengan lagu-lagu galau seperti Aku Telah Berdua, Sakit Teramat Sakit, Kasih Sayangilah Aku dan Disaat Patah Hati yang terus mengusik jiwa penonton.

Kemeriahan malam itu bertambah dengan kehadiran bintang undangan Ronnie Hussein membawakan lagu Hanya Aku dan Harapan yang pernah melonjakkan namanya dengan kumpulan Hyper Act suatu ketika dulu sebelum pentas diisi dengan aksi solo dram dan keyboard oleh ahli Dadali.
Kemuncak konsert semakin terasa apabila Dyrga membawakan lagu Aishiteru nyanyian asal Zivilia Band dalam versi lebih bertenaga, membuatkan penonton bangun menari dan menyanyi.
Tidak mahu meminggirkan peminat, Dadali mengundang seorang peminat setianya dikenali sebagai Erin naik ke pentas untuk berduet lagu Di Saat Aku Pergi. Walaupun kelihatan gugup, Erin tampil ‘sporting’ dan seronok menikmati pengalaman manis yang tercipta.
“Siapa nama kamu, adinda? Boleh menyanyi sama aku?” usik Dyrga, mencetuskan sorakan dan gelak tawa penonton yang terhibur dengan interaksi tersebut.
Dyrga dan Ronnie Hussein kemudian berpadu suara menerusi lagu Di Saat Aku Mencintaimu, sebelum konsert beralih ke babak akhir dengan lagu-lagu bernuansa kecewa seperti Cinta Yang Tersakiti, Di Saat Aku Tersakiti dan Mungkin Pilihan Terbaik.
“Masya-Allah, kamu sangat luar biasa. Ini bukan 10 lagu tetapi 18 lagu. Kalian di bawah sangat kuat berdiri, terima kasih banyak. Janji kita jumpa lagi… insya-Allah,” katanya.
Konsert ditutup dengan single terbaharu Dyrga, iaitu Sebuah Kisah yang dilancarkan awal tahun ini.
“Dengarkan Sebuah Kisah yang bakal diangkat ke layar perak menerusi filem biopik mengenai perjalanan Dadali selama 16 tahun ini, dari garaj kecil di Bogor ke pentas antarabangsa,” katanya, disambut dengan sorakan penonton.
Walaupun tirai konsert dilabuhkan pada sekitar 10.30 malam, masih ramai penonton terpaku di tempat duduk, seolah-olah tidak rela malam indah itu berakhir.
Namun, buat peminat setia, kisah ini belum selesai kerana Dyrga memberi bayangan bahawa Sebuah Kisah Volume 1 hanyalah permulaan dengan sambungannya bakal diumumkan kelak.
Konsert anjuran Ultimate Teamworks Malaysia, Ultimate Media dan BIZCreations itu turut mendapat sokongan Tourism Malaysia bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, yang membuka ruang kerjasama budaya lebih erat antara Malaysia dan Indonesia. – Bernama