SIBU: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 15 sebatan terhadap seorang peniaga gerai makan selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar syabu seberat 695.93 gram.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Christopher Chin Soo Yin menjatuhkan hukuman itu terhadap Wee Ee Kai, 28, selepas tertuduh gagal menyangkal dakwaan terhadap bungkusan yang dibawanya itu mengandungi dadah berbahaya.
Pada akhir kes pendakwaan, Chin memberitahu, tertuduh sedar akan kesalahan yang telah dilakukan tetapi sengaja berbuat tidak tahu sebelum mengarahkan tertuduh untuk membela diri.
Semasa membela diri, hanya Wee memberikan keterangan bersumpah.
Chin berkata, keterangan Wee memberitahu kenalannya Jeremy Wong menghubunginya melalui telefon untuk mengambil bungkusan itu dari pejabat pos di Sungai Merah dan menghantarnya kepada Lee Soon Tiong di sebuah hotel di Sibu.
Ketika ditanya tentang kandungan bungkusan, Wee mendakwa bahawa dia tidak bersalah dan hanya pembawa bungkusan, selain tidak diberitahu tentang kandungan bungkusan itu.
Wee telah ditangkap bersama bungkusan itu di luar pejabat pos pada 18 Jun 2020.
Menurut Chin, ketika membela diri, tertuduh menambah cerita untuk memuaskan hati mahkamah bahawa tertuduh telah menghantar Jeremy Wong ke lapangan terbang di Sibu semasa dalam perjalanan ke Kuching.
Katanya, Lee tidak dipanggil oleh tertuduh walaupun saksi ini ditawarkan kepada pihak pembelaan untuk memberi keterangan.
“Lee tidak akan sekali-kali mengaku bahawa dia adalah penerima terakhir dadah itu, dimana perkara ini tidak dikemukakan kepadanya serta hubungannya dengan Jeremy.
“Tertuduh tidak berusaha untuk memuaskan hati mahkamah bahawa dia tidak mempunyai sebab untuk mengesyaki bungkusan itu mengandungi dadah, sebagai contoh, bukan tugasnya untuk mengambil bungkusan itu bagi pihak Jeremy Wong atau untuk mana-mana pihak.
Chin juga berkata, kegagalan memanggil mana-mana saksi selain tertuduh sendiri, mahkamah tidak mempunyai cara tambahan untuk mengetahui sama ada keterangan tertuduh mengenai kejadian itu benar atau sebaliknya.
“Mahkamah dibiarkan membuat keputusan berdasarkan bukti yang ada seperti yang dijelaskan dalam kes ini. Mahkamah juga tidak mempunyai cara untuk memastikan sama ada wujud versi atau sebab lain bagaimana dan mengapa bungkusan dadah itu sampai ke tangan tertuduh,” ujarnya.
Wee didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 39B(2) akta sama kerana mengedar 695.93 gram Methamphetamine pada 18 Jun 2020 kira-kira 12.00 tengah hari di Pejabat Pos Laju Jalan Tun Abang Haji Openg.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali jika sabit kesalahan. Di bawah Seksyen 3 Akta Keadilan Jenayah 1953, hukuman penjara seumur hidup akan dianggap sebagai hukuman penjara selama 30 tahun.
Wee diwakili peguambela Daren Ling manakala pendakwaan kes oleh Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto. Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil sembilan saksi untuk memberi keterangan terhadap Wee.
Oleh AKUN GIMAN