
KUCHING: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak akan menjelajah ke seluruh negeri dalam usaha memperluas penyebaran maklumat dan meningkatkan kesedaran antidadah.
Pengarah AADK Sarawak, Abdul Hamediee Ibrahim berkata ini berikutan pendidikan mengenai dadah masih kurang di peringkat komuniti.
“Oleh itu, kami merancang melaksanakan Jelajah AADK 2026 sebagai usaha memperkukuh usaha pencegahan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sinergi AADK bersama Media: Aspirasi Media – Rakan Strategik Dalam Pencegahan Dadah di sini malam tadi.
Abdul Hamediee berkata program tersebut menjadi platform penting bagi memperkukuh jalinan kerjasama serta kefahaman media terhadap peranan AADK dalam membentuk naratif positif mengenai pencegahan dan pemulihan dadah di negeri ini.

“Pendidikan tentang dadah masih kurang di peringkat komuniti, dan di sinilah media menjadi platform terbaik untuk menyebarkan maklumat yang benar serta mendidik masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau berkata media memainkan peranan utama sebagai jambatan maklumat antara agensi dan masyarakat bagi memastikan mesej antidadah dapat disampaikan dengan tepat, seimbang serta berimpak.
Abdul Hamediee menegaskan bahawa sinergi antara AADK dan media perlu diteruskan secara berterusan agar mesej yang disampaikan dapat membentuk kesedaran serta perubahan sikap dalam kalangan masyarakat.
Mengulas mengenai punca masalah dadah yang semakin meresap di kawasan luar bandar, beliau menjelaskan bahawa antara faktor utama ialah kurangnya pendedahan dan pengetahuan masyarakat terhadap bahaya dadah, selain pengaruh sosial dan mudahnya akses kepada bahan terlarang tertentu.
“Di kawasan luar bandar, tahap kesedaran masih rendah kerana maklumat mengenai bahaya dadah tidak sampai sepenuhnya.
“Ada juga yang terpengaruh dengan rakan sebaya atau menggunakan dadah sebagai cara untuk mengatasi tekanan hidup,” jelasnya.
Bagi menangani isu itu, katanya, AADK akan memperkukuh program pendidikan pencegahan dan komuniti dengan pendekatan lebih dekat kepada masyarakat setempat, termasuk melalui kerjasama dengan pemimpin komuniti, sekolah serta agensi kerajaan lain.
“Kita mahu pendekatan yang lebih mesra rakyat. AADK akan turun padang melalui program Jelajah AADK 2026 untuk memberi penerangan secara langsung, selain memperluas aktiviti kesedaran dan intervensi awal di kawasan pedalaman,” katanya.
Abdul Hamediee turut menegaskan bahawa usaha bersepadu antara kerajaan, media dan komuniti amat penting bagi memastikan masalah dadah di luar bandar dapat dikawal secara berkesan dan berterusan.
Oleh NORMAN B. dan ADELE RISSA