Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • D1 Racing harumkan nama Sarawak di pusingan ketiga Superbike GP Pro MSF 2025
  • SUKAN

D1 Racing harumkan nama Sarawak di pusingan ketiga Superbike GP Pro MSF 2025

Utusan Sarawak 7 hours ago
PASUKAN D1 Racing bergambar kenangan di Litar Antarabangsa Sepang selepas menamatkan perlumbaan MSF 2025 dengan keputusan membanggakan.

KUCHING: Pasukan D1 Racing, satu-satunya pasukan perlumbaan yang mewakili Sarawak, membuktikan kecemerlangan dalam pusingan ketiga kategori Superbike GP Pro di Festival Kelajuan Malaysia (MSF) 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad lalu.

Kejayaan membanggakan ini bukan sahaja melepasi sasaran asal, malah turut meningkatkan keyakinan terhadap potensi sukan permotoran di Sarawak.

MSF 2025 merupakan acara permotoran peringkat kebangsaan di bawah Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), menawarkan platform untuk pasukan perlumbaan tempatan mengetengahkan bakat di peringkat yang lebih tinggi.

Pengurus Pasukan D1 Racing, Azmin Ramlie berkata, matlamat utama adalah untuk mengangkat nama Sarawak dalam sukan permotoran dua roda di peringkat kebangsaan.

“Walaupun dengan sumber yang terhad, kami berjaya melepasi sasaran asal dan menamatkan perlumbaan dalam kedudukan sepuluh terbaik.

“Ini adalah bukti bahawa dengan kerja keras, dedikasi dan kerjasama yang padu, anak Sarawak juga mampu mencipta kejayaan cemerlang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau pasukan D1 Racing berdepan kekangan kewangan namun tetap menetapkan matlamat realistik dan bersemangat memberi saingan sengit.

KREW D1 Racing melakukan persiapan akhir ke atas jentera Suzuki GSX-R sebelum turun ke litar bagi saingan kategori Superbike GP Pro.

“Kejayaan ini memberi inspirasi kepada anak muda Sarawak untuk berani mengejar impian dalam sukan permotoran.

“Dalam saingan itu, pelumba pasukan bermula dari petak belakang akibat masalah teknikal semasa kelayakan.

“Namun berjaya tamat di tempat ketujuh daripada 16 pelumba, bukti kegigihan pasukan mengatasi cabaran,” jelasnya.

Beliau mengulas lanjut bahawa apabila melihat kepada pencapaian mereka yang semakin meningkat, Pasukan D1 Racing kini membuka peluang kepada bakal penaja, terutamanya dari Sarawak, untuk bersama-sama menyokong aspirasi memajukan lagi sukan permotoran negara.

“Kami percaya ini adalah masa yang tepat bagi para penaja untuk bersama-sama menyokong perjalanan kami kerana kejayaan ini membuktikan potensi besar yang ada pada pasukan ini.

“Dengan sokongan yang tepat, saya yakin Pasukan D1 Racing dapat mencapai lebih banyak kejayaan dalam pusingan-pusingan akan datang,” ujarnya.

MSF 2025 turut menampilkan pelumba terkenal seperti Azlan Shah, Naomichi Uramoto, Adam Norrodin dan Zulfahmi Khairuddin, serta menarik kehadiran peminat dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Jepun dan Eropah.

Pasukan D1 Racing dijadual beraksi semula pada 30 Ogos 2025 dengan sasaran kekal dalam kelompok 10 terbaik.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Azmin di talian 014-8871946.

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Michael Tiang komited bangunkan arena perlumbaan RC di Sibu
Next: Jun Hao sedia sahut cabaran sebagai pemain perseorangan utama negara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.