KAJANG, 24 Nov (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 28 Nov sebagai cuti umum sempena pembentukan Kerajaan Perpaduan Nasional dan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.
Beliau berkata cuti yang asalnya dicadang diberikan esok terpaksa dianjak ke Isnin depan untuk terus memberikan ruang kepada nilai ringgit dan Bursa Malaysia yang menunjukkan perkembangan positif hari ini.
“Saya bersyukur kerana hari ini dan sebelumnya keadaan dan keyakinan pelabur juga berubah, ringgit diperkuat dan bursa lebih segar.
“Justeru, saya putuskan esok tidak boleh diberi cuti umum tetapi diganti dengan hari Isnin (28 Nov),” katanya pada sidang media pertama beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberikan cuti umum itu namun ia tertangguh susulan urusan penubuhan kerajaan belum selesai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas.
— BERNAMA