SIBU: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pecah rumah.
Majistret Romario Jonoi memerintahkan Abdul Mohamad Haris, 27, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap, 9 Jun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, Haris didakwa memecah masuk sebuah rumah di Lorong Bandong 5 pada 26 Mei 2024, lebih kurang 10.30 pagi dengan niat untuk mencuri sebuah televisyen 50 inci jenama Sharp.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 445(B) Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 457 kanun sama, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan juga denda.
Sekiranya kesalahan itu dilakukan dengan niat mencuri, hukuman penjara yang dikenakan adalah sehingga 14 tahun dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, hendaklah dikenakan denda atau sebatan.
Mengikut fakta kes, pada 27 Mei 2024, lebih kurang 3.20 pagi, pengadu dimaklumkan oleh ayahnya yang televisyen di ruang tamu rumah mereka telah hilang.
Pengadu kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati televisyen 50 inci jenama Sharp dan komputer riba jenama Asus telah hilang.
Pengadu kemudian membuat laporan polis dan pada 9 Jun 2024, lebih kurang 4.30 petang, pihak polis telah menangkap tertuduh di tepi Jalan Foochow bagi membantu siasatan.
Pada 14 Jun 2024, kira-kira 12.30 tengah hari, tertuduh telah membawa pihak polis ke sebuah premis di Lorong Tunku Abdul Rahman, 31, tempat dia menjual televisyen yang dicurinya.
Oleh Akun Giman