

Dua suspek berusia 26 dan 33 tahun ditahan polis yang dilaporkan mencuri buah sawit milik SALCRA dalam satu operasi khas di sekitar Saratok, baru-baru ini. Foto: IPD Saratok
SARATOK: Polis berjaya menumpaskan kegiatan mencuri buah sawit milik Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) selepas menahan dua lelaki tempatan dalam satu operasi khas di sekitar Saratok, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata kedua-dua suspek berusia 26 dan 33 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok yang diketuai oleh Inspektor Hendry pada Jumaat lalu di sebuah bilik kediaman di kawasan Saratok.
Menurut beliau, tangkapan dibuat susulan laporan oleh seorang Polis Bantuan SALCRA, selepas terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berwarna keemasan yang memasuki kawasan ladang SALCRA di Blok 21, Fasa 5 Lubok Renit pada 5 November lalu.


Dua suspek berusia 26 dan 33 tahun ditahan polis yang dilaporkan mencuri buah sawit milik SALCRA dalam satu operasi khas di sekitar Saratok, baru-baru ini. Foto: IPD Saratok
“Ketika rondaan dilakukan, pengadu melihat kenderaan berkenaan sarat dengan tandan buah sawit di bahagian belakang yang dipercayai hasil curian.
“Cubaan untuk menahan kenderaan itu gagal apabila suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mathew, hasil siasatan lanjut membawa kepada penangkapan dua suspek yang tidak bekerja, masing-masing mempunyai rekod lampau serta disahkan positif dadah jenis amfetamina dan metamfetamina.
“Suspek mengaku mencuri sawit berkenaan untuk dijual bagi mendapatkan wang membeli bekalan dadah. Polis turut merampas sebatang tombak sawit bersama hulu kayu yang digunakan dalam kegiatan tersebut,” ujarnya.
Mathew berkata, kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan rakan sejenayah lain yang mungkin terlibat.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam kegiatan mencuri hasil ladang atau sebarang aktiviti jenayah yang boleh menjejaskan sumber ekonomi tempatan.
Oleh Adi Safarman