
SIBU: Sayap Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pusat menegaskan bahawa kenaikan cukai terhadap cecair rokok elektronik (vape) semata-mata tidak memadai untuk membendung ketagihan dalam kalangan belia.
Pengerusinya, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, sebaliknya ia menuntut kerajaan menggandakan usaha pendidikan awam dan penguatkuasaan bagi menangani isu itu secara menyeluruh.
“Langkah kerajaan menaikkan kadar duti eksais dan mengetatkan peraturan terhadap produk vape menunjukkan komitmen melindungi kesihatan awam, namun perlu disokong dengan tindakan yang lebih agresif di lapangan.
“Kami memuji kesungguhan kerajaan, tetapi cukai semata-mata tidak akan menyelesaikan krisis ini. Usaha pendidikan, pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan perlu ditingkatkan sepuluh kali ganda untuk mengelak generasi muda menjadi mangsa baharu ketagihan nikotin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya kadar cukai terhadap cecair vape dinaikkan untuk mengurangkan penggunaan, maka usaha pendidikan awam, kapasiti pemeriksaan, bajet penguatkuasaan dan kesiapsiagaan pendakwaan juga mesti ditingkatkan pada kadar yang sama.
“Jika satu aspek dinaikkan tanpa yang lain, pelaksanaannya akan pincang dan berisiko gagal,” tegasnya.
Menurutnya, antara bidang yang perlu diberi keutamaan termasuk kempen kesedaran awam, pendidikan di sekolah dan komuniti, pemantauan berterusan, penguatkuasaan undang-undang, serta program sokongan bagi mereka yang mahu berhenti menggunakan vape.
“Pengguna muda tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pesalah kerana ramai antara mereka terjebak tanpa sedar akan bahaya vape terhadap kesihatan.
“Pendekatan yang lebih berkesan ialah intervensi, kaunseling dan laluan selamat untuk berhenti bukan hanya menghukum,” jelasnya.
Kevin turut menyokong visi kerajaan untuk akhirnya melaksanakan larangan menyeluruh terhadap vape, namun menegaskan keperluan membina asas kukuh sebelum melaksanakannya.
“Langkah larangan secara mengejut tanpa persediaan rapi hanya akan mendorong perdagangan vape ke pasaran gelap dan menimbulkan kekacauan,” kata beliau.
Beliau turut menarik perhatian terhadap amaran oleh pakar kesihatan di seluruh dunia, yang menegaskan bahawa vape jauh daripada selamat, terutamanya bagi remaja dan golongan muda.
Katanya, pendedahan nikotin pada usia muda boleh menjejaskan perkembangan otak, meningkatkan risiko ketagihan serta membawa kepada kerosakan kognitif dan kardiovaskular dalam jangka panjang.
Tambah beliau, hasil kajian yang dibentangkan pada Kongres Persatuan Kardiologi Eropah 2025 mendapati penggunaan vape dikaitkan dengan peningkatan kekakuan arteri dan tekanan darah tinggi.
Kajian tersebut turut menunjukkan bahawa risiko strok meningkat hampir 32 peratus, terutama dalam kalangan remaja yang masih dalam proses perkembangan tubuh.
“Apabila golongan muda dibekalkan ilmu dan kesedaran tentang bahaya rokok elektronik (vape), mereka akan lebih kuat menolak pengaruh rakan sebaya dan terhindar daripada bahaya vape yang mungkin dicampur bahan terlarang,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa pendidikan dan kesedaran awam merupakan benteng utama dalam melindungi generasi masa depan daripada ancaman ketagihan nikotin dan implikasi kesihatan yang serius.
Oleh Akun Giman