
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Cukai Karbon akan mula diperkenalkan tahun depan dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi memastikan kecekapan pelaksanaan Cukai Karbon, mekanismenya akan turut diselaras dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara yang bakal digubal.
“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) terus dipacu pemain industri dengan sokongan Dana Peralihan Tenaga Negara RM150 juta,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata Skim Pembiayaan Teknologi Hijau, GTFS 5.0 dengan nilai pembiayaan RM1 bilion dibuka sehingga 31 Disember 2026 dengan insentif jaminan kerajaan sehingga 80 peratus bagi teknologi hijau sektor sisa dan jaminan sehingga 60 peratus bagi sektor lain seperti tenaga, air, pengangkutan dan pembuatan.
“Bagi menyokong gaya hidup lestari, pemberian rebat diteruskan untuk pembelian kelengkapan jenis cekap tenaga kepada pengguna dan peniaga dengan peruntukan RM20 juta.
“Kerajaan bercadang supaya pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM2,500 ringgit diperluas untuk merangkumi pembelian mesin rincih sisa makanan bagi menggalakkan gaya hidup lestari,” kata beliau. – Bernama