KUCHING: Kerajaan Perikatan Nasional digesa meniliti kembali perkara yang diumum dan dirancang oleh kerajaan terdahulu terutama perkara yang melibatkan agenda pemerkasaan serta peningkatan kebajikan penjawat awam supaya ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Malaysia, Adnan Mat berkata CUEPACS menerima dan mendengar setiap keluhan yang disampaikan oleh penjawat awam yang melahirkan kekecewaan.
Katanya, ini kerana banyak perkara yang dirancang dan diumumkan melibatkan agenda pemerkasaan dan peningkatan kebajikan pekerja dalam sektor kerajaan tidak dapat dilaksanakan berikutan perubahan kerajaan yang memerintah.
“Antara perkara yang telah diumum tetapi tidak dilaksanakan sehingga kini ialah Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bersamaan 1 KGT secara khas kepada semua penjawat awam di samping KGT biasa setiap tahun berkuatkuasa 1 Julai 2018.
“Kedua, pemendekan kenaikan pangkat secara Time Based kali kedua dikurangkan daripada 13 tahun kepada 10 tahun berkuatkuasa 1 Januari 2018.
“Ketiga, penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai bagi penjawat awam yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun (diumumkan oleh Menteri Kewangan semasa pembentangan Bajet 2020 pada 11 Oktober 2019).
“Dan keempat, penjawat awam Semenanjung mendapat tambahan COLA RM50, oleh itu CUEPACS mohon agar penjawat awam di Sabah dan Sarawak juga diberi tambahan COLA RM50 yang diletak dalam elaun wilayah,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi bagi Petugas Barisan Hadapan dan Majlis Bersama Ketua-ketua Jabatan di Pejabat CUEPACS, di sini semalam.
Beliau menambah CUEPACS sehingga hari ini tidak menerima sebarang jawapan yang kukuh dan dapat memuaskan hati penjawat awam mengapa perkara tersebut tidak dapat dilaksanakan.
“CUEPACS berpendapat perkara itu boleh dilaksanakan oleh kerajaan dan bukan sukar untuk dilaksanakan kerana telah diumumkan dalam bajet dahulu dan ketika pengumuman oleh Perdana Menteri sebelum ini.
“Oleh itu, CUEPACS memohon agar kerajaan sekarang sebagai kerajaan prihatin rakyat untuk memberi pelaksanaan segera kepada empat perkara tadi,” ujarnya.
Beliau berkata CUEPACS turut berpendapat pakej Bantuan Prihatin Elektrik CUEPACS dapat dipanjangkan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak seperti yang dinikmakti rakyat di Semenanjung.
“Itulah antara perkara yang kami bentangkan kepada kerajaan melalui ketua setiausaha negara dalam satu pertemuan yang diadakan,” katanya dan menambah empat perkara tersebut adalah perkara lama, dan jika diumum semula, CUEPACS tidak mahu ia dikitar semula.
“Sebaiknya perkara itu dilaksanakan dan bukan diumum semula dalam bajet akan datang.
“Kita tidak mahu ia dikitar semula kerana perkara itu adalah atas bentuk kebajikan kepada penjawat awam yang telah dibuat kajian sebelum ini, diambil kira pandangan CUEPACS dan kerajaan maka kita rasa kerajaan perlu laksanakan segera,” tegasnya.
Oleh Alexandra Lorna