
Adnan Mat
KUALA LUMPUR: Kongres Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan agar memberi pilihan kepada penjawat awam bagi Lantikan Tetap Bercarum di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), untuk menerima bayaran persaraan secara bulanan atau sekali gus, tertakluk kepada syarat dan kelayakan tertentu yang ditetapkan.
Presiden Cuepacs Datuk Dr Adnan Mat berkata perkara itu, merupakan satu daripada tiga cadangan dikemukakan Cuepacs susulan cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mengekalkan kaedah pembayaran secara bulanan bagi Lantikan Tetap Bercarum di bawah SSPA, sebagai satu pendekatan baharu menggantikan skim pencen sedia ada.
Beliau berkata Cuepacs turut mencadangkan kerajaan mewujudkan skim hibrid yang menggabungkan kedua-dua bentuk bayaran, dengan sebahagian kecil boleh dikeluarkan sekali gus manakala selebihnya dibayar secara bulanan.
Cadangan ketiga pula memastikan kadar caruman kerajaan adalah mencukupi untuk menampung keperluan asas pesara, agar ia tidak jauh berbeza daripada nilai pencen semasa.
“Cuepacs menyambut baik pendekatan ini secara positif, kerana ia mencerminkan keprihatinan kerajaan untuk terus menjaga kebajikan penjawat awam, selepas bersara walaupun mereka tidak lagi berada dalam skim pencen tradisional.
“Kami juga memahami bahawa terdapat sebahagian pandangan daripada penjawat awam, yang lebih cenderung untuk menerima bayaran sekali gus seperti dalam skim KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata JPA bercadang untuk mengekalkan pembayaran bulanan bagi Lantikan Tetap Bercarum di bawah SSPA, bagi mengelakkan pesara menjadi mangsa penipuan.
Wan Ahmad Dahlan berkata cadangan itu juga dapat memastikan simpanan hari tua pesara diurus dengan lebih efisien.
Adnan berkata Cuepacs berpandangan pembayaran secara bulanan seperti pencen, satu bentuk perlindungan kewangan jangka panjang yang disifatkan lebih berstruktur, selamat dan dapat mencegah risiko pemborosan, selain mampu menjamin kelangsungan hidup pesara dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang terus meningkat.
Beliau berkata walaupun skim pencen yang sedang dilaksanakan pada masa ini adalah yang terbaik untuk menjaga kebajikan pesara, pihaknya memahami kekangan fiskal dan kedudukan kewangan negara menyebabkan skim pencen tradisional sukar untuk dikekalkan bagi pelantikan baharu untuk jangka masa panjang.
Sehubungan dengan itu, Adnan berkata sebarang bentuk pindaan atau mekanisme baharu yang diperkenalkan hendaklah berprinsip ‘tidak kurang faedah’ berbanding skim pencen sedia ada, bagi memastikan kebajikan penjawat awam kekal terbela selepas bersara.
“Cuepacs akan terus terlibat secara aktif dalam sesi libat urus bersama kerajaan, bagi memastikan sebarang pelaksanaan skim baharu ini mengambil kira pandangan penjawat awam dan memberi manfaat jangka panjang kepada semua pihak,” katanya.
— BERNAMA