Buah bermusim mungkin sesuatu yang biasa didengari, bagaimana pula dengan kuih bermusim?
Di lokasi seperti Bintulu dan Miri yang sememangnya terkenal dengan musim bubuk saban tahun, salah satu juadah yang menjadi perhatian setiap kali ketibaan udang geragau itu pastinya adalah cucur bubuk.
Kelazatannya yang jelas berbeza dengan cucur goreng lain ditambah pula hanya boleh didapati pada satu musim sahaja membuat ia menjadi kegilaan masyarakat tempatan.
Umumnya, masyarakat sedia maklum bahawa bubuk merupakan bahan utama untuk membuat belacan, cencaluk dan udang kering.
Namun, bagi penduduk Bintulu dan Miri, ia sebenarnya lebih daripada itu apabila ramai peniaga akan mengambil kesempatan menjual juadah unik tersebut dengan resepi masing-masing.
Tambahan pula, bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkannya amat mudah, sama seperti cucur goreng yang lain.
Antara bahan paling biasa adalah tepung gandum serbaguna, air, lobak merah, cili merah, bawang besar, bawang putih, daun ketumbar dan sayur kubis.
Kadang-kadang, ada juga yang akan menambah bahan lain seperti serbuk kari, serbuk kunyit, daun bawang dan lain-lain mengikut cita rasa tersendiri.
Langkah pertama menyediakan adunan adalah campurkan tiga cawan tepung gandum serbaguna, dua cawan air dan garam secukup rasa sehingga sebati.
Selepas itu, aduan tersebut dimasukkan pula bahan-bahan sayuran yang dihiris nipis bersama dua ulas bawang putih dan setengah bawang besar yang telah ditumbuk halus.
Pastikan kesemua dalam aduan itu digaul sampai sebati sebelum memasukkan secawan bubuk atau lebih, bergantung kepada kehendak sendiri.
Jika terlalu pekat, boleh tambahkan lagi sedikit air mengikut kesesuaian dan kemudian goreng dalam minyak panas sehingga berwarna keemasan.
Sebaik sahaja siap digoreng, ia boleh dihidangkan terus sementara masih panas bersama cili sos bagi menambahkan lagi kelazatannya.
Bagi masyarakat luar yang masih tertanya-tanya akan kepopularannya, apa yang boleh dikatakan adalah kebanyakan gerai-gerai yang menjual juadah itu mendapat sambutan apabila ramai jelas kelihatan menunggu di tepi menanti ia siap digoreng.
Namun, apakah daya, ia hanya dapat dinikmati dalam jangka masa tertentu selagi musim bubuk masih melanda sama seperti buah bermusim.
Oleh CAROLYNE UTIH