
LUNDU: Tindakan pantas Unit Penguatkuasaan dan Kawalan Persempadanan (UPKP) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak sekali lagi membuahkan hasil apabila berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan manusia di Kampung Biawak, Lundu.
Dalam operasi terancang itu, pihak berkuasa mengesan pergerakan mencurigakan lima orang individu yang dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sedang keluar dari kawasan hutan dan menaiki sebuah kenderaan.
Kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan itu cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Namun, dengan kecekapan anggota, kenderaan tersebut berjaya ditahan di kawasan Batu Kawa dan semasa pemeriksaan lanjut mendapati kesemua lima PATI tersebut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Siasatan awal mendapati bahawa warga asing itu dipercayai telah membayar sejumlah wang antara RM400 hingga RM500 setiap seorang kepada sindiket penyeludupan untuk dihantar ke sekitar bandar Kuching.
Sindiket tersebut dipercayai menggunakan laluan tidak sah melalui kawasan hutan bagi mengelak daripada pemeriksaan dan kawalan di pintu masuk yang diwartakan.
Dalam operasi tersebut, seramai lima PATI warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai transporter telah berjaya ditahan.
Pihak berkuasa turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan untuk membawa PATI serta sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk urusan penyeludupan.
Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 bagi kesalahan transporter, dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan PATI.
JIM Sarawak menegaskan komitmen berterusan mereka dalam membanteras kegiatan penyeludupan manusia di negeri ini.