Cubaan curi buah sawit di Bau gagal, dua lelaki ditahan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BARANG rampasan.

BAU: Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam cubaan mencuri buah kelapa sawit di Kampung Sepadah semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman, berkata kedua-dua suspek yang berusia 30 dan 31 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan kesalahan.

Menurut Mohd Haide, pengadu berada di rumahnya di Kampung Stenggang kira-kira 1.00 pagi pada semalam sebelum melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menerusi telefon bimbit yang memaparkan dua individu tidak dikenali sedang menolak kereta sorong yang sarat dengan buah kelapa sawit keluar dari kawasan kebun.

“Pengadu bersama bapa, abang dan rakannya kemudian bergegas ke kebun. Sebaik menyedari kehadiran mereka, kedua-dua suspek melarikan diri dengan meninggalkan sebuah beg silang hitam, sebilah sabit, sebuah kereta sorong, tiga tandan buah kelapa sawit dan sebuah motosikal yang dipercayai milik mereka,” katanya.

Beliau berkata, kebun kelapa sawit seluas kira-kira empat hektar itu didaftarkan atas nama bapa pengadu dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta dilengkapi palang keselamatan dan kamera CCTV di pintu masuk.

Mohd Haide berkata, tiada kerugian dialami kerana suspek tidak sempat melarikan buah kelapa sawit tersebut.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku datang ke kebun dengan menaiki motosikal dengan niat untuk mencuri buah kelapa sawit. Mereka melarikan diri selepas disergah sebelum pulang ke rumah dengan berjalan kaki dan berjaya ditahan polis,” katanya.

Polis turut merampas sebuah beg silang hitam, sebilah sabit, sebuah kereta sorong, tiga tandan buah kelapa sawit serta sebuah motosikal bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bau bagi permohonan reman dan turut menjalani ujian saringan air kencing,” katanya sambil menambah kes itu berjaya diselesaikan susulan penahanan kedua-dua suspek.

Oleh Connie Chieng

Lelaki positif dadah ditahan Polis Bau

BAU: Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan selepas didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam operasi Op Tapis.