KAMPALA: Menteri Buruh Uganda direman dan dipenjara pada kelmarin kerana didakwa atas cubaan membunuh, lapor agensi berita Anadolu.
Mwesigwa Rukutana ditangkap pada Sabtu lalu selepas beliau mengambil pistol milik seorang pengawalnya dan melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang menyokong pesaing politiknya, Naome Kabasharira.
Beliau bertindak demikian selepas tewas dalam pilihan raya tempatan di daerah Ntungamo di barat Uganda.
Menurut jurucakap polis, Fred Enanga, seorang mangsa dikenali Dan Rwiburingi, mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Ntungamo, dilaporkan dalam keadaan kritikal sementara yang lain cedera ringan.
Beliau dituduh dengan tujuh pertuduhan termasuk cubaan membunuh, melakukan serangan dan ancaman keganasan.
Presiden Uganda, Yoweri Museveni dalam ucapannya pada Isnin mengecam tindakan itu.
“Menteri Rukutana dipenjara bersama pengawalnya dan mesti didakwa. Mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan perbuatan yang dilakukan,” kata Museveni.
Dalam pada itu di Yaounde, Presiden Cameroon Paul Biya telah menandatangani dokumeni bagi menetapkan pilihan raya majlis perbandaran pertama, diadakan pada 6 Disember, lapor agensi berita Xinhua.
Pilihan raya yang julung kali itu bakal berlangsung di 58 bahagian di bandar-bandar besar untuk memilih anggota Majlis Perbandaran masing-masing.
Pilihan raya ini tidak pernah diadakan, walaupun perkara mengenainya terkandung dalam perlembagaan negara sejak bertahun lamanya.
Pemerhati tempatan menyifatkan pilihan raya itu sebagai langkah untuk mempercepat proses pengagihan kuasa pusat di samping membantu mengakhiri krisis pemisah di dua wilayah di barat laut dan barat daya.
Sementara itu, pemimpin pembangkang utama negara itu, Maurice Kamto, berikar akan mengadakan tunjuk perasaan jika konflik pemisah tidak diselesaikan sebelum pilihan raya berlangsung.-Bernama