Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Cuaca terik permudah pengeluar, ubi gegeli jadi sumber pendapatan
  • RENCANA

Cuaca terik permudah pengeluar, ubi gegeli jadi sumber pendapatan

Utusan Sarawak 15 hours ago
PASANGAN suami isteri Zulkhairul Anuar Abu Bakar, 51, (kanan) dan isterinya Roselina Zakaria, 47, menunjukkan ubi gegeli yang sudah siap dibersihkan dan dipotong sebelum dijemur ketika ditemui Bernama di Kampung Permatang Pusu, Melor baru-baru ini. Foto BERNAMA

WALAUPUN cuaca panas yang melanda negara pada ketika ini memberikan cabaran kepada orang ramai, namun keadaan itu juga membuka peluang kepada sebahagian masyarakat untuk menambah pendapatan seharian mereka.

Ini termasuklah kepada pasangan suami isteri Zulkhairul Anuar Abu Bakar, 51, dan isterinya Roselina Zakaria, 47, di Kampung Permatang Pusu, Melor, Kota Bharu apabila permintaan terhadap herba tradisional ubi gegeli yang mereka usahakan semakin meningkat.

Zulkhairul Anuar berkata keadaan yang cuaca panas masa ini membantu mempercepat proses pengeringan ubi gegeli, sekali gus membolehkan pengeluaran dilakukan dengan lebih efisien bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Zulkhairul Anuar Abu Bakar, 51, membersihkan ubi gegeli sebelum dipotong ketika ditemui Bernama di Kampung Permatang Pusu, Melor baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Dalam cuaca panas, ubi gegeli boleh kering dalam tempoh sehari berbanding tiga hingga empat hari sebelum ini, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran.

“Permintaan terhadap batang ubi gegeli yang direbus untuk dijadikan minuman herba yang juga semakin tinggi dan menjadi sumber pendapatan utama kami,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ubi gegeli atau nama saintifiknya Lasia spinosa ialah tumbuhan herba daripada keluarga Araceae yang lazimnya tumbuh di kawasan berpaya dan digunakan dalam perubatan tradisional.

PASANGAN suami isteri Zulkhairul Anuar Abu Bakar, 51, (kanan) dan isterinya Roselina Zakaria, 47, menjemur ubi gegeli yang telah siap dipotong ketika ditemui Bernama di Kampung Permatang Pusu, Melor baru-baru ini. Foto BERNAMA

Zulkhairul Anuar berkata pada masa ini, permintaan harian boleh mencecah sehingga 10 kilogram dan mereka mampu menjual antara 40 hingga 50 paket dijual setiap hari, selain dipasarkan melalui ejen dan pelanggan tempatan.

Beliau berkata musim kemarau turut memudahkan proses mendapatkan bahan mentah apabila kawasan berpaya menjadi kering, sekali gus memudahkan pengambilan ubi gegeli yang tumbuh liar di sekitar sawah dan parit terbiar.

“Walaupun lebih mudah didapati ketika musim kering, proses ini tetap berisiko kerana kami perlu memasuki kawasan berpaya yang mungkin dihuni haiwan berbisa seperti ular,” katanya.

AIR rebusan ubi gegeli yang diusahakan pasangan suami isteri Zulkhairul Anuar Abu Bakar, 51,dan Roselina Zakaria, 47, ketika ditemui Bernama di Kampung Permatang Pusu, Melor baru-baru ini. Foto BERNAMA

Beliau berkata kemahiran mengusahakan herba itu dipelajari daripada ibu bapanya di Perak, sebelum diteruskan di Kelantan sebagai sumber pendapatan keluarga.

Sementara itu, isterinya Roselina berkata proses penyediaan bermula dengan membersihkan ubi daripada akar dan duri, sebelum dihiris dan dijemur sehingga kering sepenuhnya.

“Jika cuaca baik, ubi boleh diproses dan dijual pada hari yang sama. Namun, jika tidak kering sepenuhnya, ia mudah rosak dan berkulat,” katanya.

UBI gegeli yang sudah kering selepas dijemur di bawah cahaya matahari terik untuk dijadikan minuman herba yang diusahakan pasangan suami isteri Zulkhairul Anuar Abu Bakar, 51, Roselina Zakaria, 47, ketika ditemui Bernama di Kampung Permatang Pusu, Melor baru-baru ini. Foto BERNAMA

Beliau berkata pada peringkat awal, produk tersebut dihasilkan untuk kegunaan sendiri sebelum dijual kepada penduduk kampung pada harga RM20 sepaket.

“Selepas menerima sambutan menggalakkan, kami mengembangkan jualan termasuk melalui media sosial seperti TikTok.

“Kini pengeluaran lebih stabil selepas memperoleh bekalan mencukupi dari beberapa lokasi sekitar negeri ini,” katanya.

Roselina berkata air rebusan ubi gegeli semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, kerana dipercayai memberi khasiat kesihatan serta membantu menyejukkan badan ketika cuaca panas.- Bernama

Continue Reading

Previous: Persediaan kita dalam apa keadaan pun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.