SIBU: Cuaca panas dan kering bukan sahaja meningkatkan risiko kebakaran terbuka, malah penggunaan peralatan elektrik secara berlebihan di rumah turut boleh mencetuskan kebakaran struktur.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar yang tidak perlu ketika cuaca terlalu panas bagi mengelakkan risiko terhadap kesihatan.
Menurutnya, mereka yang perlu melakukan aktiviti luar hendaklah mendapatkan rehat secukupnya, minum air yang mencukupi serta mengelakkan berada terlalu lama di bawah pancaran matahari.
“Pada masa sama, bukan sahaja kebakaran terbuka berlaku, malah statistik menunjukkan kebakaran struktur turut berlaku ketika musim panas.
“Keadaan ini boleh berpunca daripada peningkatan penggunaan elektrik di rumah, termasuk penghawa dingin, kipas, soket yang dikongsi dan pelbagai peralatan elektrik lain yang boleh meningkatkan risiko kebakaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, pagi ini.
Beliau berkata, penghuni dinasihatkan menggunakan peralatan elektrik secara berhemah dan tidak membebankan soket dengan terlalu banyak peralatan pada satu-satu masa.
Katanya, bagi aktiviti yang melibatkan penggunaan api seperti kerja di kebun, orang ramai perlu lebih berhati-hati dan sebaik-baiknya mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.
“Pesanan saya kepada seluruh masyarakat ialah jadilah masyarakat yang prihatin, bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan keselamatan.
“Musim panas dan kering bukan masa untuk mengambil mudah tentang api. Elakkan pembakaran terbuka, jangan tinggalkan api tanpa pengawasan dan pastikan kawasan sekitar rumah serta tanah kita bebas daripada bahan mudah terbakar,” katanya.
Andy turut mengingatkan orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau kewujudan asap kepada pihak bomba bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
“Jika ternampak kebakaran atau asap, jangan tunggu sehingga api menjadi besar. Segera laporkan kepada pihak bomba melalui talian 999,” katanya.
Oleh Akun Giman




