
MAKKAH: Cuaca panas yang melanda Mina hari ini tidak menghalang jemaah Malaysia untuk meneruskan ibadah melontar jamrah, antara syarat wajib dalam melengkapkan ibadah haji.
Dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius, jemaah dilihat bergerak perlahan dan berhati-hati menuju ke kompleks Jamaraat sambil ditemani petugas Tabung Haji (TH) yang sentiasa memantau keadaan semasa.
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan jemaah membawa payung, botol air serta kain basah bagi mengurangkan kesan cuaca panas ketika berjalan bersama jutaan umat Islam lain dari seluruh dunia.
“Cuaca panas memang mencabar tetapi apabila sampai dan dapat menyempurnakan lontaran, rasa semua itu berbaloi,” kata jemaah Malaysia Ahmad Zulqanain Zainal, 49, ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Seorang lagi jemaah Siti Mariam Hassan, 34, berkata walaupun keadaan cuaca panas dan perjalanan agak jauh, beliau tetap bersyukur dapat menyempurnakan ibadah itu dengan tenang.
“Ini pengalaman yang sangat bermakna. Walaupun penat, hati rasa kuat,” katanya.
Abdul Rahman Ismail, 52, yang turut berkongsi pengalaman berkata suasana di Mina yang padat dengan jutaan jemaah menjadikan ibadah melontar jamrah satu pengalaman yang menginsafkan.
“Dalam kepanasan dan kesesakan ini, kami benar-benar belajar erti kesabaran,” katanya.
Walaupun berdepan kepenatan dan perjalanan yang jauh dari khemah penginapan di Mina, rata-rata jemaah tetap tenang dan tabah menyempurnakan ibadah melontar yang melambangkan penolakan terhadap godaan syaitan serta kepatuhan kepada perintah Allah SWT.
Petugas TH turut menasihatkan jemaah supaya menjaga kesihatan, mengelakkan berjalan terlalu laju serta segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami keletihan akibat cuaca panas. – Bernama