
KUCHING: Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan bahawa Lubok Antu di Sarawak berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) cuaca panas hari ini.
Menurut maklumat terkini, Tahap Berjaga-Jaga ditetapkan apabila suhu maksimum harian berada antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Peringatan ini dikeluarkan bagi memastikan penduduk tempatan mengambil langkah berjaga-jaga dan menjaga kesihatan ketika cuaca panas.
Selain Lubok Antu, beberapa kawasan di Semenanjung turut berada pada Tahap 1, manakala empat kawasan di Kedah iaitu Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, dan Baling berada pada Tahap 2 (Gelombang Haba) dengan suhu melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius.
Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, orang ramai boleh merujuk https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/.