
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan bahawa beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak kini berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) susulan cuaca panas berpanjangan dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

MetMalaysia memaklumkan bahawa bagi Semenanjung Malaysia, lima kawasan dikenal pasti berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga), iaitu Baling (merangkumi Kulim dan Bandar Baharu) di Kedah, Selama di Perak, serta Maran dan Rompin di Pahang.
Sementara itu, di Sabah pula, kawasan yang terjejas ialah Pitas, Kota Marudu, Beaufort dan Tenom.
Di Sarawak, hanya Limbang yang berada pada tahap berjaga-jaga ketika ini.

Tahap berjaga-jaga ini dikeluarkan sebagai langkah awal pemantauan cuaca panas yang berisiko menjejaskan kesihatan dan aktiviti luar, khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang bekerja di luar.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar, memastikan pengambilan air yang mencukupi serta sentiasa mengikuti perkembangan terkini cuaca melalui saluran rasmi MetMalaysia.