
LAWAS: Cuaca panas berpanjangan yang melanda daerah ini kini menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’ Kelalan, dengan beberapa kampung dilaporkan berdepan krisis bekalan air yang semakin kritikal.
Kawasan yang kritikal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’ Kelalan ialah di Trusan Tengah, Trusan Laut dan Jalan Lawas Damit.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’ Kelalan, Baru Bian mendedahkan sistem graviti yang membekalkan air di kawasan ini telah kering dan bekalan dari Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) adalah tidak mencukupi.
“Dengan cuaca panas dan kemarau yang berlarutan, saya sangat prihatin dan bimbang dengan masalah kekurangan air di beberapa kawasan DUN N.81 Ba’ Kelalan, terutamanya di daerah Trusan Tengah, Trusan Laut dan Jalan Lawas Damit,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, semasa lawatan ke kawasan terbabit dan sesi dialog bersama pemimpin masyarakat, didapati banyak kampung kini berada dalam keadaan mendesak dan amat memerlukan bekalan air bersih untuk kegunaan harian.
Antara kampung yang turut terjejas termasuklah Kampung Beriwen Kito, Kampung Tunas Baru, Kampung Tang Lepadan, Kampung Batu Tari, Kampung Tang Sango, Kampung Bukit Batu, Kampung Long Bidang dan Kampung Long Tengoa.
“Malangnya, masalah kekurangan air ini bukanlah isu baharu, ia sering berulang di kawasan Lawas setiap kali musim kemarau,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa yang berkaitan supaya bertindak segera dan menyediakan bantuan air yang mencukupi kepada komuniti terjejas.
“Penting untuk memastikan penduduk yang terkesan mendapat air bersih untuk keperluan asas seperti minuman, memasak dan mencuci.
“Malah, bekalan air mineral juga wajar dipertimbangkan, memandangkan keadaan kering ini dijangka berterusan untuk tempoh yang lebih panjang,” tambahnya.
Beliau turut menggesa agar pihak berkuasa mengambil pendekatan proaktif dengan menilai situasi secara menyeluruh serta melaksanakan pelan tindak balas kecemasan yang lebih cekap, dengan kerjasama erat bersama masyarakat setempat.
Oleh Adeng Edrus