Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Cuaca panas bawa lebih rezeki kepada pengusaha belacan, ikan masin
  • RENCANA

Cuaca panas bawa lebih rezeki kepada pengusaha belacan, ikan masin

Utusan Sarawak 12 hours ago
PENGUSAHA belacan jenama Chop Kim Hoa, Lo Eng Joo,78, (kiri) melakukan proses pembuatan belacan di Pulau Betong, Balik Pulau berikutan cuaca panas hari ini. Menurut Lo, pada cuaca panas belacan dapat dijemur dalam sehari berbanding musim hujan memakan masa lebih lama. Proses jemur dan mesin perlu diulang sekurang-kurangnya tiga kali dan belacan akan diperap selama tiga bulan sebelum dimesin dan dijemur lagi sebelum proses pembungkusan. Foto BERNAMA

BALIK PULAU: Di sebalik keluhan orang ramai terhadap cuaca panas ketika ini, ia membawa limpahan rezeki kepada pengusaha belacan dan ikan masin di Kampung Kuala Sungai Pinang serta Pulau Betong di sini.

Cuaca panas dan kering berpanjangan bukan sahaja mempercepat proses pengeringan, malah meningkatkan kualiti produk dan menjimatkan masa pengeluaran yang menjadi kelebihan besar bagi industri itu.

Pengusaha belacan Chop Kim Hoa, Lo Eng Joo, 78, berkata cuaca panas dan terik amat sesuai untuk menghasilkan belacan berkualiti tinggi kerana proses pengeringan dapat dilakukan secara semula jadi tanpa gangguan hujan.

Lo berkata penghasilan belacan bukan sahaja rumit, malah mengambil tempoh yang panjang dengan faktor cuaca sangat penting bagi memastikan produk dihasilkan tidak mudah rosak dan tahan lama.

PROSES menjemur belacan. Foto BERNAMA

“Proses menjemur biasanya mengambil masa sehari, bergantung kepada cuaca. Jika dijemur pada 10 pagi, belacan boleh diangkat kira-kira 6 petang tetapi jika hujan, tempoh pengeringan menjadi lebih lama,” katanya ketika ditemui di kilang keluarganya di Pulau Betong.

Lo berkata proses itu perlu diulang sekurang-kurangnya tiga kali selain belacan perlu diperam selama tiga bulan sebelum melalui pengeringan akhir dan pembungkusan.

Lelaki itu berkata mereka memproses kira-kira setengah tan belacan setiap hari menggunakan udang geragau yang dibekalkan dari Terengganu, Perak dan Selangor. 

Perniagaan itu, menurut Lo diasaskan oleh datuknya lebih 70 tahun lepas dan kini diteruskan bersama-sama dua adik lelakinya serta dibantu dua pekerja dalam kalangan ahli keluarga.

PENGUSAHA ikan masin Teoh Yoog Mooi, 60 menunjukkan ikan duri dan gelama. Foto BERNAMA

Sementara itu, pengusaha ikan masin di Kampung Kuala Sungai Pinang, Teoh Yoog Mooi, 60, berkata cuaca panas ketika ini membolehkan pengeluaran meningkat sehingga 300 kilogram (kg) sehari berbanding kurang 100 kg pada musim hujan.

Wanita itu berkata keadaan itu turut dipengaruhi faktor bekalan ikan kerana nelayan lebih kerap ke laut memandangkan cuaca baik.

“Saya hanya menghasilkan ikan kering daripada ikan duri dan gelama. Ikan bersaiz besar biasanya mengambil masa sehingga seminggu untuk kering sepenuhnya kerana isi lebih tebal tetapi sekarang hanya kira-kira empat hari.

“Bagi ikan gelama yang lebih kecil, proses pengeringan mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari berbanding tiga ketika cuaca lembap atau musim hujan,” katanya.

TEOH dilihat menjemur ikan masin di hadapan rumahnya susulan cuaca panas. Foto BERNAMA

Teoh berkata cuaca kering juga memberi kelebihan dari segi kualiti apabila ikan masin dihasilkan kelihatan lebih jernih berbanding jika terdedah kepada hujan atau melalui tempoh pengeringan yang terlalu lama sekali gus meningkatkan daya tarikan kepada pembeli.

Teoh berkata tiada isu lambakan stok kerana dirinya mempunyai pelanggan tetap yang datang setiap hari, dengan harga jualan ditetapkan RM15 sekilogram bagi ikan bersaiz besar manakala ikan kecil RM10 sekilogram.

“Saya faham ramai tidak selesa dengan cuaca panas tetapi bagi saya ia memudahkan keseluruhan proses pembuatan ikan masin, daripada menyiang, memerap, menjemur hingga ke pembungkusan,” katanya.

Meskipun sudah berusia, Teoh masih mengendalikan keseluruhan proses secara sendiri dengan bekalan ikan diperoleh daripada nelayan setempat. – Bernama

Tags: RENCANA

Continue Reading

Previous: Raya di Sarawak: Tujuh hari tujuh malam yang penuh jiwa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.