PAKAR EEA,Wouter Vanneuville.
KEJADIAN cuaca ekstrem seperti gelombang panas dan banjir telah menelan belanja di Eropah hampir 510 bilion Euro dan sekitar 142,000 nyawa sejak 40 tahun lalu, menurut laporan baharu yang diterbitkan pada 3 Februari lalu di AFP.
Dalam kajiannya, Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA) menggesa agar langkah penyesuaian berterusan di peringkat individu dan negeri.
Menurut laporan itu, sebilangan kecil kejadian ekstrem iaitu sekitar tiga peratus daripada jumlah keseluruhan bagi kira-kira 60 peratus daripada bebanan kewangan yang ditanggung dari 1980 hingga 2020.
Apabila melibatkan kehilangan nyawa manusia, gelombang haba menyumbang 91 peratus dengan gelombang haba yang dialami pada musim panas 2003 membunuh kira-kira 80,000 orang.
“Gelombang haba yang sama selepas 2003 menyebabkan kematian yang jauh lebih rendah kerana langkah penyesuaian diambil di negara yang berbeza oleh aktor yang berbeza seperti pemasangan penghawa dingin,” kata EEA dalam satu kenyataan.
Di peringkat global, Pertubuhan Meteorologi Sedunia menganggarkan bahawa bilangan bencana berkaitan cuaca telah meningkat sejak 50 tahun lalu menyebabkan lebih banyak kerosakan, tetapi lebih sedikit kematian.
Jelas EEA, data dari 40 tahun yang lalu tidak membenarkan kesimpulan pasti dibuat sama ada peningkatan itu disebabkan oleh perubahan iklim kerana kerosakan yang sangat tidak teratur yang direkodkan pada tahun berbeza di Eropah.
“Semua bahaya yang kami gambarkan sebagai berkaitan cuaca dan iklim dipengaruhi oleh keadaan iklim. Itu tidak sama dengan mengatakan ia semua dipengaruhi perubahan iklim,” kata pakar EEA, Wouter Vanneuville.
Jelas Vanneuville, kajian terbaharu terutamanya hasil kerja Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) menunjukkan bahawa kekerapan dan keterukan kejadian seperti kemarau dan kebakaran hutan lebih mudah dikaitkan dengan perubahan iklim.
Sementara itu, kejadian seperti hujan batu masih terdapat kekurangan bukti.
“Bagi bencana seperti ribut bukan tropika, isyarat iklim di Eropah tidak jelas. Jadi, tidak pasti sama ada ia akan meningkat atau tidak.
“Tetapi, bagi kejadian iklim lain seperti kemarau, bukan sahaja di Mediterranean, tetapi di kebanyakan Eropah akan meningkat berdasarkan ramalan iklim,” ujarnya.
Jerman adalah negara di Eropah yang paling menderita dengan kerugian berjumlah 107 juta Euro (AS$120 juta) dan 42,000 mangsa sejak empat dekad lalu.
Ia diikuti oleh Perancis (99 bilion Euro dan 26,700 kematian) dan Itali (90 bilion Euro dan 21,600 kematian).
Hanya 23 peratus daripada kerosakan material di seluruh Eropah dilindungi oleh insurans, tetapi terdapat juga jurang perbezaan besar antara negara.
Di Romania dan Lithuania hanya satu peratus diinsuranskan berbanding 55 peratus di Belanda atau 56 peratus di Denmark.
Dalam pada itu, bencana alam seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi tidak termasuk dalam angka ini kerana ia bukan meteorologi.
Menurut laporan serupa oleh agensi cuaca Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara (NOAA) Amerika Syarikat (AS), AS mengalami 310 bencana cuaca dan iklim sejak 1980 dengan jumlah kerosakan melebihi AS$2,155 bilion.