
KUALA LUMPUR: Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang masih berpotensi berlaku dari semasa ke semasa di kawasan yang lazimnya tidak terjejas dengan Monsun Timur Laut sekiranya wujud keadaan atmosfera yang kondusif bagi membolehkan pembentukan cuaca ekstrem itu.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ambun Dindang berkata selain pantai timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang lazimnya mengalami cuaca ekstrem ketika Monsun Timur Laut, pantai barat ketiga-tiga wilayah itu juga bepotensi dilanda cuaca seperti itu sekiranya keadaan atmosfera menggalakkan pembentukan ribut petir berkenaan.
Beliau berkata antara faktor utama yang mempengaruhi kejadian cuaca ekstrem ialah arah dan kelajuan tiupan angin serta penumpuan angin di sesuatu kawasan.
“Sepanjang musim Monsun Timur Laut, perkara yang paling dibimbangkan ialah kehadiran luruan monsun kerana ia boleh menyebabkan hujan berterusan antara satu hingga tiga hari,” katanya ketika ditemu bual menerusi program ‘Malaysia Petang Ini’ terbitan BERNAMA TV, di sini hari ini.
Ambun berkata hujan berterusan itu boleh berlaku pada intensiti sederhana hingga lebat dan berpotensi meningkatkan risiko bencana sekiranya keadaan berkenaan berlarutan.
Sebagai peringatan kepada orang ramai agar sentiasa bersiap siaga menghadapi bencana, beliau berkata kebiasaannya MetMalaysia akan mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dengan tiga tahap keseriusan iaitu Waspada (Kuning), Buruk (Oren) dan Bahaya (Merah).
“Peringkat waspada menunjukkan potensi risiko cuaca ekstrem yang masih perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat.
“Walaupun monsun dijangka berakhir pada Mac, kehadiran luruan monsun yang membawa hujan lebat itu boleh berlaku bila-bila masa dan memerlukan pemantauan berterusan,” katanya.
Ambun turut memaklumkan MetMalaysia menjalankan pemantauan cuaca 24 jam dan akan mengeluarkan amaran awal sebaik sahaja tanda-tanda luruan monsun dikenal pasti.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini daripada sumber rasmi MetMalaysia serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah bagi mengurangkan risiko keselamatan semasa cuaca ekstrem.- Bernama