
BINTULU: Pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berkesan perlu dilaksanakan secara berterusan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat dengan menumpukan kepada keperluan sebenar komuniti.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing berkata, pendekatan CSR yang bersifat menyeluruh dan berimpak tinggi bukan sahaja membantu masyarakat, malah menyumbang kepada pembangunan sosial yang lebih seimbang dan inklusif.
“CSR yang berkesan adalah yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta menangani keperluan sebenar komuniti.
“Pelaksanaannya perlu dibuat secara bermakna, berterusan dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas II beliau, Steven Kong Kai Seng semasa berucap pada Program Petroliam Nasional Berhad (Petronas) Memacu Kehidupan Krismas 2025 di Hospital Bintulu, hari ini.

Beliau turut berharap lebih banyak syarikat dan organisasi korporat tampil melaksanakan inisiatif CSR sebagai usaha membantu rakyat serta menyokong pembangunan negara.
Menurutnya, pelaksanaan CSR yang konsisten dan bertanggungjawab mampu menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sosial selain mengukuhkan hubungan antara sektor korporat dan komuniti setempat.
Program Petronas Memacu Kehidupan Krismas 2025 merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan yang menumpukan kepada pemberian bantuan berimpak langsung kepada komuniti setempat melalui kerjasama strategik bersama rakan pelaksana.
Oleh Carolyne Utih