Pertahanan Manchester City Croatia, Josko Gvardiol (tengah) merembat gol penyamaan selepas pertahanan Faroe ragu-ragu. Foto AFP
PARIS: Croatia mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026 di Amerika Utara dengan kemenangan 3-1 yang kurang meyakinkan ke atas Kepulauan Faroe yang sedang berada dalam prestasi terbaik pada Jumaat, manakala Belanda juga hampir memastikan tempat mereka di pusingan akhir.
Harapan Jerman pula masih bergantung pada perlawanan kelayakan terakhir mereka menentang Slovakia di laman sendiri pada Isnin, meskipun dua gol Nick Woltemade memberikan kemenangan 2-0 yang sukar ke atas Luxembourg.

Namun ia adalah malam di mana pasukan underdog mengejutkan lawan yang lebih ternama, walaupun tidak mampu memberikan tamparan yang benar-benar bermakna.
Kepulauan Faroe, yang hadir dengan tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan Kumpulan L di Rijeka serta masih mempunyai harapan tipis untuk layak, mengejutkan finalis Piala Dunia 2018 itu apabila berjaya membuka jaringan, meskipun Croatia hanya memerlukan keputusan seri untuk layak.
Geza David Turi mendapat bola di bahagian tengah padang Croatia sebelum mara tanpa dicabar dan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang terkena defleksi besar untuk menewaskan Dominik Livakovic pada minit ke-16.
Kelebihan itu hanya bertahan tujuh minit sebelum pertahanan Manchester City, Josko Gvardiol, merembat gol penyamaan selepas kelemahan pertahanan Faroe.
Dengan Luka Modric yang kekal berpengaruh di usia 40 tahun ketika membuat penampilan ke-193, Croatia mula menguasai permainan.
Dan 12 minit selepas babak kedua bermula, Petar Musa meledak gol untuk menenangkan kegusaran tuan rumah.
Dengan impian Faroe menjadi negara terkecil pernah layak ke Piala Dunia semakin pudar, Nikola Vlasic menambah derita mereka pada 20 minit terakhir dengan voli lencong untuk menewaskan penjaga gol Mathias Lamhauge yang sudah jauh keluar dari kawasannya.
Depay kekalkan kelebihan Belanda
Gol ke-55 Memphis Depay bersama skuad Belanda — rekod baharu — membantu mereka hampir mengesahkan kelayakan selepas seri 1-1 dengan Poland.

Jakub Kaminski memberi harapan kepada Poland untuk memintas Belanda di puncak Kumpulan G dua minit sebelum rehat, apabila menyambut bola hantaran Robert Lewandowski untuk menewaskan Bart Verbruggen.
Namun dua minit selepas babak kedua bermula, Depay menjaringkan gol penyamaan untuk mengekalkan kelebihan tiga mata Belanda di puncak kumpulan serta kelebihan perbezaan gol yang besar (13 gol), menjadikan pertemuan dengan Lithuania di laman sendiri pada Isnin hampir sekadar formaliti.
Dalam Kumpulan A, Luxembourg memberi banyak ancaman kepada Jerman dalam separuh masa pertama yang berakhir tanpa jaringan sebelum penyerang Newcastle, Woltemade, menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua untuk mengekalkan Jerman di tangga teratas kumpulan.
Mereka hanya memerlukan satu mata di laman sendiri menentang Slovakia pada Isnin untuk mengesahkan tempat ke Piala Dunia.
Pesaing terdekat mereka, Slovakia, dibatalkan dua gol oleh VAR tetapi Tomas Bobcek menjaringkan gol masa kecederaan di Kosice untuk mencuri kemenangan 1-0 ke atas Ireland Utara.
Namun Slovakia perlu menang di Jerman pada Isnin untuk menjuarai kumpulan dan mengelak play-off.
Di tempat lain, gol minit ke-20 Liam Jessop hampir memberi Gibraltar kemenangan pertama — atau seri pertama — dalam sejarah kelayakan kejohanan utama, tetapi Vasilije Adzic dan Nikola Krstovic memastikan Montenegro mengelakkan kejutan untuk menang 2-1 dalam Kumpulan L. – AFP