KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) telah menganjurkan acara jaringan pertama pasca-pandemik, Cradle Circle yang menghubungkan syarikat pemula niaga dibiayainya dengan bakal pelabur serta penggiat ekosistem berkaitan.
Naib Presiden Kanan Cradle, Juliana Jan berkata, acara sehari pada 20 Oktober lepas itu membabitkan program seperti pembentangan idea perniagaan serta sesi jaringan dan perkongsian.
Beliau berkata, sokongan ekosistem syarikat pemula niaga, khususnya menerusi penyertaan dalam acara berkenaan, adalah bertepatan dengan rancangan Cradle untuk menganjurkan sesi sama dalam masa terdekat bagi membantu serta memudahkan lebih banyak syarikat pemula niaga dibiayai Cradle bertemu dengan pelabur berpotensi di peringkat lapangan.
“Cradle yang juga agensi dilantik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi peringkat awal ekosistem syarikat pemula, menyasarkan bukan hanya setakat membantu aspek peluang pendanaan tetapi juga melonjakkan pengusaha itu secara holistik menerusi kelompok Cradle Circle.
“Ini menjadi antara inisiatif kami untuk mengurangkan sebarang kemungkinan wujudnya jurang dalam ekosistem terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Norman Matthieu Vanhaecke berkata, Cradle sering mendapati adanya syarikat-syarikat pemula niaga di peringkat awal ini berdepan cabaran seperti kekurangan kepakaran serta bimbingan yang tepat dalam perjalanan pengembangan perniagaan masing-masing.
“Oleh itu, adalah diharapkan inisiatif Cradle Circle itu membolehkan kami untuk terus melonjakkan serta memperkasa mereka dengan keperluan perniagaan selain menghubungkan mereka dengan jaringan serta sumber-sumber yang diperlukan,” katanya.
Cradle telah membantu lebih daripada 1,000 syarikat pemula berasaskan teknologi dari segi kemudahan mengkomersialkan pertumbuhan masing-masing yang turut menyumbang kepada negara melalui teknologi selain menjana pewujudan pekerjaan dan perkembangan ekonomi. – Bernama