LIMBANG: Pembinaan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan,Pembungkusan
dan Pemasaran (CPPC) Kubong bernilai RM5 juta yang dijangka siap Mei
tahun ini bertujuan meningkatkan hasil eksport pertanian Sarawak.
CPPC ini berperanan membantu memproses dan memasarkan sekali gus meningkatkan eksport produk pertanian.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah,Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, Kerajaan Sarawak memberi fokus kepada pemasaran hasil tanaman petani dengan membina beberapa CCPC di Sarawak.
Perkara ini penting kerana antara kekangan utama yang dihadapi oleh para petani di Sarawak adalah aspek pemasaran.
Ini telah menyebabkan mereka sukar mengembangkan projek pertanian dalam skala besar.
“CPPC Kubong merupakan antara CPP terawal yang dibina di Sarawak selain CPPC Tarat, Lawas dan Betong yang berperanan memproses produk pertanian.
“Melalui CPPC ini kita ingin mencapai hasrat untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport produk pertanian menjelang tahun 2030,” katanya kepada media sewaktu mengadakan lawatan ke CPPC Kubong dan Taman kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kubong semalam.
Turut serta Pegawai Pertanian Bahagian Limbang,Japarudin Ali, Jurutera Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Limbang,Ros Aminah Ismail.
Pembinaan CPPC Kubong seluas satu hektar yang berdepan kelewatan sebelum ini dan dikategori projek sakit, dijangka siap Mei tahun ini selepas kontraktor memberi jaminan ia akan siap mengikut jadual ditetapkan.
Selain CPPC, Projek TKPM Limbang juga sedang giat dibina melibatkan dua kategori iaitu tanaman dan sistem perlindungan hujan (SPH) (fertigasi) kepada petani yang berminat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu memberitahu,dibawah
kategori tanaman, kerajaan menumpukan kepada tanaman nangka madu yang melipuri keluasan 24 hektar membabitkan enam peserta,manakala di bawah sistem fertigasi projek SPH yang diusahakan merangkumi keluasan dua hektar dan melibatkan lapan peserta.
Bagi tujuan itu jelasnya,RM500,000 dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan tahun lepas bagi kerja menembok tanah dan sebanyak
RM2 juta dibelanjakan tahun ini untuk membina 20 SPH yang memberi kemudahan kepada lapan peserta.
Oleh ADENG EDRUS