
Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Masyarakat tidak perlu bimbang dengan penularan subvarian baharu COVID-19, JN.1, kerana ia tidak berbahaya berbanding varian-varian pada awal kemunculan wabak itu, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan bahawa meskipun terdapat peningkatan kes COVID-19 dalam komuniti sejak kebelakangan ini, purata kes mingguan masih kekal di bawah paras amaran kebangsaan dan tiada kematian dilaporkan setakat ini.
“Situasi ini selaras dengan peralihan fasa hidup bersama COVID-19. Jangkitan juga dapat dikawal sekiranya tahap imunisasi dalam tubuh berada pada tahap optimum,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, golongan berisiko tinggi digalakkan mendapatkan suntikan dos tambahan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan, komplikasi serius dan kematian akibat wabak berkenaan.
Pemberian vaksin COVID-19 turut digalakkan kepada individu berisiko tinggi, termasuk mereka yang belum menerima vaksin sebelum ini; individu berumur 18 tahun dan ke atas; individu berumur 12 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi atau masalah sistem imun (immunocompromised); ibu mengandung serta anggota kesihatan.
Vaksin COVID-19 diberikan secara sukarela dan percuma di klinik kesihatan kerajaan terpilih di seluruh negara dan individu yang layak boleh membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.– BERNAMA