KUCHING: Sepuluh kes positif Covid-19 direkod di Sarawak, semalam sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 742 kes.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, terdapat lapan kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Import B, satu kes saringan Influenza-Like-Illness (ILI) dan satu kes saringan kontak yang telah dikesan di Sarawak.
“Seramai empat kes telah dikesan di Daerah Kuching, tiga di Lubok Antu dan masing-masing satu di Daro, Bau dan Bintulu,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, semalam.
Tambahnya, terdapat satu kluster yang masih aktif di Sarawak iaitu kluster Bah Arnab di Daerah Kuching.
“Kluster ini kekal melaporkan empat kes positif COVID-19,” ujarnya lagi. Tiada kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital semalam.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes postif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj kekal seramai 684 orang atau 92.18 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak,” jelasnya.
Jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital telah meningkat seramai sepuluh orang menjadikan jumlah keseluruhan ialah seramai 39 orang iaitu 24 di wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak, lapan di Hospital Miri, empat di Hospital Sibu dan tiga Hospital Bintulu.
Tiada kes Covid-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian baharu dilaporkan, semalam.
Ini menjadikan jumlah kematian adalah kekal seramai 19 orang atau 2.56 peratus selain 22 PUI baharu telah dilaporkan dan tiga kes PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.
Oleh Nur Ain Otsman