
KUCHING: Pasukan CosmicNeva dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan SPACEBOYS dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart Sibu muncul juara keseluruhan bagi kategori Senior dan Junior dalam Sarawak Space Challenge (SSC) 2025 yang berlangsung baru-baru ini.
Kejayaan kedua-dua pasukan itu menutup tirai penganjuran SSC tahun ini yang berjaya menghimpunkan lebih 350 peserta di tiga lokasi serentak, iaitu di Kuching, Sibu dan Miri pada 4 dan 5 Oktober lalu.
Pasukan CosmicNeva membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 bagi kategori Senior, manakala SPACEBOYS menerima RM5,000 sebagai juara kategori Junior hasil projek berinspirasi sains angkasa dan inovasi digital.

Bagi kategori Senior, tempat kedua dimenangi pasukan Borneo Nexus dari Politeknik Kuching manakala tempat ketiga diraih pasukan Panggay Libau dari Unimas. Dua pasukan lain dari Unimas, iaitu Luna dan Delta V, turut menerima anugerah saguhati.
Bagi kategori Junior pula, tempat kedua dimenangi pasukan Fine Gentleman dari SMK Chung Hua No. 1 Kuching, diikuti pasukan Interstellar4 dari SMK Pujut Miri di tempat ketiga.
Anugerah saguhati masing-masing disandang pasukan TimeCircle dari SMK Tung Hua Sibu dan Flying Octopus dari SMK St. Joseph Kuching.

Dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dengan kerjasama Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Realfun dan SOL Digital, SSC bertujuan memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi serta kemahiran bahasa Inggeris dalam kalangan belia Sarawak sambil menghubungkan mereka dengan aplikasi sebenar dalam bidang sains, angkasa dan teknologi.
Sejak penganjurannya pada 2021, SSC telah melibatkan lebih 18,000 peserta belia di seluruh negeri dan terus menjadi platform penting dalam melahirkan generasi baharu pencipta penyelesaian serta inovator digital di Sarawak.
Tiga sekolah menengah turut menerima pengiktirafan sebagai sekolah paling aktif, dengan penyertaan tertinggi datang daripada SMK Merbau Miri yang menghantar 231 peserta melalui 53 pasukan, diikuti SMK Sacred Heart Sibu (60 peserta, 13 pasukan) dan SMK Methodist Sibu (55 peserta, dua pasukan).
Setiap sekolah menerima sumbangan RM1,000 sebagai penghargaan atas sokongan berterusan terhadap inisiatif STEM negeri.
Oleh Adele Rissa