KUCHING: Sarawak harus melihat kejayaan yang dicapai oleh Estonia dan Korea Selatan sebagai landasan di dalam usaha untuk mencapai status negara maju menjelang 2030.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Enstonia telah menerima digitalisasi dan diakui sebagai masyarakat digital yang maju, manakala Korea Selatan berkembang pesat dengan mengikuti pendekatan strategi dalam pendidikan, sains dan teknologi, inovasi dan ekonomi berasaskan pengetahuan.
“Sarawak adalah satu-satunya kerajaan yang memberi penekanan kepada penggunaan teknologi dalam perkhidmatan untuk merapatkan jaringan di antara rakyat dengan kerajaan.
“Jika Enstonia sebuah negara kecil di Eropah telah berjaya saya rasa Sarawak juga boleh berjaya di rantau ini.
“Korea Selatan adalah negara yang telah berjaya. Pada suatu ketika dahulu Korea Selatan berada di belakang Malaysia namun kini Korea Selatan jauh ke hadapan dan tidak mempunyai sumber alam tetapi mempunyai rakyat yang berinovasi dan budaya teknologi tinggi.
“Sarawak mempunyai satu kelebihan iaitu kita dapat mengikuti Enstonia melalui aplikasi teknologi dan kita juga dapat mengikuti Korea Selatan dengan kualiti rakyatnya. Sekiranya digabungkan kedua-duanya, saya yakin Sarawak mampu mencapai negeri maju menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2020 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Abang Johari menzahirkan rasa bangga di atas kejayaan yang dicapai oleh Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) dalam memiliki platform dan ekosistem inovasi dan kreativiti yang mantap dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa di peringkat Komanwel.
“Ekosistem ini dibentuk untuk memastikan kelangsungan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan di semua peringkat Perkhidmatan Awam Sarawak dari pengurusan atasan hingga kumpulan sokongan di peringkat dasar untuk menangani pelbagai peringkat masalah dan cabaran.
“Saya juga mendapat tahu bahawa terdapat 649 inisiatif inovasi Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang telah di perkenalkan oleh kumpulan ICC ini dan terdapat 16 inisiatif inovasi yang diiktiraf dan dianugerahkan di peringkat antarabangsa di Konvensyen Antarabangsa Kumpulan Kawalan Kualiti (ICQCC).
“Saya bangga bahawa penyelesaian inovasi KIK ini telah disumbangkan oleh kumpulan sokongan kita di peringkat asas. Sesungguhnya, mereka ini telah melakukan tugas yang hebat dalam memberikan sumbangan untuk terus meningkatkan penyampaian perkhidmatan.
Sehubungan itu, Abang Johari turut berkata bahawa, budaya seperti itu harus diteruskan dan semua ketua jabatan perlu menyokong pasukan KIK mereka.
“Oleh itu, saya ingin mengemukakan cabaran baru ini kepada anda semua, agar penyelesaian inovatif yang tertumpu kepada rakyat ini dapat di kembangkan, ditiru dan ditingkatkan lagi,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO