Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Colombia tewaskan Ghana untuk mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia
  • SUKAN

Colombia tewaskan Ghana untuk mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia

Utusan Sarawak 10 hours ago
PEMAIN Colombia meraikan kemenangan 1-0 dalam perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 antara Colombia dan Ghana di Stadium Kansas City, Kansas City, Missouri. Foto AFP

KANSAS CITY, Amerika Syarikat: Colombia yang mensia-siakan banyak peluang menewaskan Ghana yang tumpul 1-0, sebentar tadi untuk menjadi pasukan terakhir melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia.

Skuad Amerika Selatan itu mendominasi perlawanan di Stadium Arrowhead, namun hanya jaringan awal Jhon Arias menjadi pemisah dalam aksi yang jelas dikuasai mereka, sebelum kini bersedia menentang Switzerland di Vancouver pada 4.00 pagi Rabu (waktu Malaysia)

DERRICK Luckassen (23) dari Ghana terbaring sambil menunjukkan reaksi kecewa selepas pasukannya tewas 0-1 dalam perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 antara Colombia dan Ghana di Stadium Kansas City, Kansas City, Missouri. Foto AFP

Pemain tengah Ghana, Thomas Partey, hampir membuka jaringan apabila percubaannya pada minit pertama tersasar sedikit, namun situasi itu tidak berlanjutan sebagai ancaman sebenar buat wakil Afrika tersebut.

Colombia terpaksa melakukan pertukaran awal apabila Jhon Córdoba mengalami kecederaan pangkal paha dan digantikan oleh Luis Suárez.

PENJAGA gol Ghana, Lawrence Ati (01), melakukan satu aksi menyelamat dalam perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 antara Colombia dan Ghana di Stadium Kansas City, Kansas City, Missouri. Foto AFP

Beberapa minit kemudian, Ghana turut melakukan pertukaran apabila Alidu Seidu masuk menggantikan Marvin Senaya yang cedera.

Colombia membuka jaringan pada minit ke-14 hasil hantaran Luis Suárez dari sebelah kanan yang disudahkan Jhon Arias yang tidak dikawal.

Gol itu memberi tekanan besar kepada Ghana yang dikendalikan Carlos Queiroz, yang hanya menjaringkan dua gol sepanjang peringkat kumpulan.

KETUA jurulatih Ghana berbangsa Portugal, Carlos Queiroz, memberi isyarat ketika perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 antara Colombia dan Ghana di Stadium Kansas City, Kansas City, Missouri. Foto AFP

Didorong sokongan padu penyokong di Kansas City, Colombia terus menguasai permainan dengan corak permainan yang tersusun dan kreatif dalam usaha mencari gol kedua.

Penyerang Bayern Munich, Luis Díaz, hampir menggandakan jaringan pada minit ke-39, namun rembatannya tersasar.

Pada masa kecederaan babak pertama, penjaga gol Ghana, Lawrence Ati Zigi, melakukan satu penyelamatan cemerlang menafikan tandukan Johan Mojica.

KETUA jurulatih Colombia berbangsa Argentina, Nestor Lorenzo, memberi isyarat ketika perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 antara Colombia dan Ghana di Stadium Kansas City, Kansas City, Missouri.  Foto AFP

Statistik separuh masa pertama jelas memihak kepada Colombia, manakala Ghana gagal mencatat sebarang percubaan tepat ke sasaran.

Colombia terus menguasai babak kedua tetapi mensia-siakan beberapa peluang untuk menamatkan perlawanan.

Díaz menjaringkan gol, namun dibatalkan kerana ofsaid, sebelum satu lagi percubaannya mudah ditangkap Ati Zigi.

Menjelang wisel penamat, Juan Quintero melepaskan rembatan kencang yang tersasar, namun satu gol sudah cukup untuk memastikan kemenangan ke atas Ghana yang gagal melakukan sebarang percubaan tepat sepanjang perlawanan. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Cape Verde buktikan tiada yang mustahil di Piala Dunia dengan ‘hati yang besar’
Next: Sukan boules berpotensi menjadi sukan pilihan semua peringkat umur

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.