KUCHING: Komitmen membara untuk memartabatkan industri muzik di Sarawak membawa kejayaan manis kepada Creative Music Work Production (CMWP) apabila berjaya melancarkan tiga ‘single’ sekali gus pada tahun ini.
Produser CMWP, Sudirsobri Musar berkata, tiga lagu itu dinyanyikan oleh tiga orang bakat tempatan dari Sarawak iaitu Fir Affandi, Abang Hafidz dan Danial Manshor.
Katanya, single pertama nyanyian Fir Affandi berjudul Manis Gulapong berjaya diterbitkan pada Februari tahun ini disusuli lagu Mungkin Saja nyanyian Abang Hafidz pada Jun dan lagu Aku Salah dendangan Danial Manshor pada Disember.
”Kami berbesar hati dapat memeriahkan industri muzik di Sarawak dengan menerbitkan lagu-lagu terbaharu dan semua pembuatan lagu-lagu dan video muzik ini melibatkan anak Sarawak sepenuhnya.
”Selain artis yang terlibat,projek ini turut memberikan manfaat kepada semua penggiat industri seperti industri rakaman audio, pembuatan video muzik, pembuat grafik,dan juga pemilik jenama produk tempatan,” katanya pada majlis pelancaran tiga single itu secara rasmi di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Fir Affandi berkata beliau bersyukur kerana impiannya untuk bergiat semula dalam bidang nyanyian yang telah lama ditinggalkan diwujudkan menerusi kemunculan single baharunya itu.
Dalam pada itu, lagu Mungkin Saja dendangan finalis Vokal Bukan Sekadar Rupa TV3 merupakan buah tangan terbaharu untuk peminat Abang Hafidz selepas lagu Zon Kawan baru-baru ini menjadi finalis Anugerah Carta 10 Sarawak FM.
Turut tidak asing namanya dalam dunia hiburan tempatan, Danial Manshor yang merupakan Pemenang Vokal Terbaik dan Naib Juara di Anugerah Carta 10 Sarawak FM 2024 berharap lagu Aku Salah itu bakal menjadi pemacu semangatnya untuk terus berkarya.
Menurut Sudirsobri, kesemua video muzik yang dihasilkan mendapat sentuhan dari Qavalore Sdn Bhd dan diarahkan oleh Ain Suhada Ahmad selain mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dan MyCreative Venture Sdn Bhd.
Oleh RYNNA SHA’ERRA