BINTULU, 14 Oktober: Kelab kereta Clean Syndicate Crew menghulurkan sumbangan pakaian dan bakul makanan kepada keluarga mangsa kebakaran di Kampung Jepak Hilir, hari ini, bagi membantu meringankan beban mereka selepas kehilangan tempat tinggal dalam kejadian pada 8 Oktober lalu.
Sumbangan itu disampaikan menerusi kunjungan wakil kelab berkenaan ke kediaman keluarga terjejas tengah hari tadi sebagai usaha membantu memenuhi keperluan asas mereka selepas ditimpa musibah.
Wakil Clean Syndicate Crew, Raymond Man, berkata inisiatif itu merupakan tanda keprihatinan kelab berkenaan terhadap nasib keluarga yang sedang menghadapi kesukaran susulan kejadian tersebut.
Menurutnya, bantuan yang disalurkan diharap dapat memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga mangsa, khususnya dalam memenuhi keperluan harian sepanjang tempoh pemulihan.

Beliau turut berharap sumbangan berkenaan dapat memberikan sokongan moral kepada keluarga terjejas agar mereka terus tabah menghadapi dugaan itu.
Raymond juga berharap segala urusan keluarga mangsa dipermudahkan dan bantuan yang diterima dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk meneruskan kehidupan selepas kejadian berkenaan.
Inisiatif itu mencerminkan semangat keprihatinan dan kebersamaan komuniti dalam membantu keluarga yang memerlukan sokongan ketika berdepan musibah.
Oleh Faizah Muzidi




