Penyerang Manchester City, Erling Haaland kecewa selepas mensia-siakan peluang ketika menentang West Ham. Foto AFP
LONDON: Hasrat Manchester City memburu gelaran Liga Perdana menerima tamparan hebat selepas sekadar seri 1-1 menentang West Ham United awal pagi ini.
Pasukan kendalian Pep Guardiola kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Arsenal walaupun masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
City mendahului menerusi jaringan Bernardo Silva pada babak pertama, namun tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan hasil tandukan Konstantinos Mavropanos sebelum rehat di Stadium London.
Keputusan itu hadir hanya beberapa jam selepas Arsenal menjaringkan dua gol lewat permainan untuk menewaskan Everton 2-0, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas City yang dilihat semakin sukar menyaingi rentak “The Gunners”.
Seri dalam dua aksi liga terakhir menentang pasukan bergelut penyingkiran seperti West Ham dan Nottingham Forest mendedahkan kelemahan skuad City yang telah dibentuk semula dengan kos tinggi sejak 18 bulan lalu.
Cabaran getir menanti apabila City perlu bangkit daripada ketinggalan 0-3 kepada Real Madrid dalam aksi kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara UEFA sebelum berdepan Arsenal di final Piala EFP di Wembley dan bertemu Liverpool dalam suku akhir Piala FA.
Lebih membimbangkan, dua aksi liga berikutnya menyaksikan City bakal menentang Chelsea dan Arsenal — satu jadual padat yang boleh menentukan nasib mereka musim ini.
Masalah di benteng pertahanan serta kemarau jaringan penyerang utama Erling Haaland – yang hanya menjaringkan tiga gol dalam 12 perlawanan liga terakhir — terus menjejaskan City di kedua-dua hujung padang.
City sebenarnya menguasai sebahagian besar permainan, namun gagal mencipta banyak peluang berbahaya.
Gol pembukaan Silva pada minit ke-31 hadir dengan sedikit tuah apabila percubaannya tersasar mengelirukan penjaga gol Mads Hermansen sebelum menerjah jaring.
Namun kelebihan itu hanya bertahan empat minit apabila kesilapan penjaga gol City, Gianluigi Donnarumma, gagal menangkap sepakan sudut Jarrod Bowen memberi ruang kepada Mavropanos menanduk masuk gol penyamaan.
City cuba bangkit menerusi beberapa pertukaran termasuk kemasukan Rayan Cherki dan Jeremy Doku, namun ketumpulan penyudah terus menghantui mereka sehingga wisel penamat.
Keputusan seri itu menyaksikan impian kejuaraan City semakin pudar, manakala West Ham kini keluar dari zon penyingkiran buat kali pertama dalam tempoh 100 hari. — AFP