Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • City dikejutkan oleh Al-Hilal, tersingkir daripada Piala Dunia Kelab
  • SUKAN

City dikejutkan oleh Al-Hilal, tersingkir daripada Piala Dunia Kelab

Utusan Sarawak 16 hours ago
PERTAHANAN Al-Hilal, Kalidou Koulibaly (tengah) meraikan bersama rakan sepasukan Ali Lajami (kiri) dan Sergej Milinkovic-Savic selepas menanduk masuk gol ketiga pasukannya. – Foto AFP

ORLANDO, Amerika Syarikat: Al-Hilal dari Arab Saudi menyingkirkan pasukan gergasi England, Manchester City daripada Piala Dunia Kelab hari ini dengan kemenangan mengejut 4-3 selepas masa tambahan, sekali gus mencipta kejutan terbesar kejohanan setakat ini.

Perlawanan berakhir 2-2 dalam masa sebenar, tetapi pada hujung masa tambahan yang penuh drama, Marcos Leonardo muncul sebagai wira dengan gol kemenangan, mencatat salah satu kejayaan terbesar dalam sejarah bola sepak Asia Barat.

Al-Hilal mara ke suku akhir untuk menentang kelab Brazil, Fluminense sekali gus memastikan satu pasukan bukan Eropah akan layak ke separuh akhir.

PERCUBAAN penyerang Manchester City, Erling Haaland (kanan) digagalkan oleh penjaga gol Al-Hilal, Yassine Bounou. – Foto AFP

Pasukan bimbingan Pep Guardiola hadir ke perlawanan itu dengan keyakinan tinggi selepas membelasah Juventus 5-2 pada aksi terakhir peringkat kumpulan, namun mereka dikejutkan oleh Al-Hilal yang beraksi penuh semangat di bawah kendalian jurulatih baharu dari Itali, Simone Inzaghi.

City mendahului seawal minit kesembilan dengan cara penuh kontroversi.

Rayan Ait-Nouri meluru ke dalam kotak penalti dan hantaran silangnya terkena dua pemain lawan sebelum jatuh ke kaki Bernardo Silva yang menyempurnakan peluang itu.

Bagaimanapun pemain Al-Hilal membantah keras, mendakwa Ait-Nouri mengawal bola menggunakan tangan dan bantahan mereka semakin kuat selepas insiden itu ditayangkan di skrin stadium.

Namun pengadil dari Venezuela, Jesus Valenzuela tidak berganjak dan membenarkan gol itu walaupun pemain Al-Hilal berulang kali mendesaknya untuk memeriksa monitor VAR.

PEMAIN tengah Manchester City, Phil Foden kecewa ketika pemain Al-Hilal meraikan kemenangan mereka. – Foto AFP

Seminit selepas rehat, bekas pemain pertahanan City, Joao Cancelo melakukan hantaran leret yang ditepis Ederson, Malcolm pantas menyambar tetapi rembatannya disekat Ruben Dias sebelum bola melantun kepada Leonardo yang menanduk masuk gol penyamaan.

Enam minit kemudian, barisan pertahanan City sekali lagi terdedah kepada hantaran jauh daripada Cancelo yang disambut Malcolm.

Dia berlari kencang untuk melepasi kawalan lawan sebelum tenang menewaskan Ederson.

Penyokong Al-Hilal bersorak gembira manakala Guardiola segera membuat tiga pertukaran dengan memasukkan Rodri, Nathan Ake dan Manuel Akanji.

Pertahanan Al-Hilal tidak dapat mengawal sepakan penjuru Bernardo dan Erling Haaland pantas mengambil kesempatan untuk menyamakan kedudukan 2-2.

City terus menekan mencari gol kemenangan tetapi sekali lagi penjaga gol Yassine Bounou menjadi penghalang apabila menyelamatkan percubaan Akanji dan Ruben Dias, malah apabila Haaland berjaya melepasi Bounou, pemain gantian Ali Lajami mengeluarkan bola di atas garisan gol.

Guardiola kemudian mengeluarkan Haaland dan memasukkan penyerang Mesir, Omar Marmoush ketika permainan memasuki masa tambahan.

Namun Al-Hilal masih mempunyai semangat juang luar biasa dan empat minit selepas masa tambahan bermula, mereka kembali mendahului apabila Kalidou Koulibaly melonjak tinggi menanduk sepakan penjuru Ruben Neves.

City membalas dengan gol berkualiti apabila hantaran lambung cantik Rayan Cherki disambut Phil Foden dengan sepakan luar biasa dari sudut sukar untuk menyamakan kedudukan.

Namun luar biasanya, Al-Hilal bangkit sekali lagi, tandukan Sergej Milinkovic-Savic ditepis Ederson namun Leonardo pantas menyambar bola muntah untuk memastikan kemenangan bersejarah mereka. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: RM30 juta bina Kompleks Sukan Kabong
Next: WFC A Saratok ungguli Pertandingan Badminton Lelaki Pesta Saratok 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.