Oleh: Abang Median Abang Said
HELEN ROWLAND seorang jurnalis Amerika yang telah menemui alam kekalnya pada 1950 pernah menegaskan: “Engkau tidak akan pernah menang jikalau tidak pernah memulai.”
Perkara yang sama juga ditegaskan oleh Billi Lim melalui buku terlarisnya, Dare to Fail yang menegaskan tentang perlunya keberanian dan kemahuan untuk menghasilkan sesuatu.
Tentunya Veronica Chendang telah memulai langkah awal untuk menuju ke landasan kemenangan kerana telah berjaya menulis cerpen “Sugu Kumang” biar apapun kekurangan atau penambahbaikan yang perlu dilakukan pada cerpen tersebut. Penghasilan cerpen itu sudah dikatakan satu langkah kejayaan.
Karya yang bertemakan tentang unsur budaya sering menjadi pilihan para penulis Sarawak kerana mempunyai keistimewaan atau kelainan yang tersendiri. Ruang dan peluang itu digunakan untuk mengetengahkannya dalam kerencaman sastera kebangsaan. Elemen tersebut turut menjadi persoalan yang diungkapkan oleh pengarang dalam cerpen “Sugu Kumang”.
Cuma fokus pengarang dalam cerpen ini lebih kepada elemen persabahatan. “Kumang” hanya dijadikan subjek untuk menonjolkan tentang kepercayaan, keikhlasan, kejujuran dan beberapa perkara lain yang perlu dipertahankan dalam membina keutuhan persahabatan. Lagipun tajuk tentang “kumang” sudah menjadi sesuatu yang stereotaip dalam penulisan cerpen di Sarawak. Tentunya ada suatu kelainan lain yang boleh diketengahkan oleh pengarang dalam penghasilan karya yang akan datang biarpun masih mengetengahkan cerpen tentang budaya atau yang berlatarkan masyarakat di Sarawak.
Antara perkara yang perlu diambil perhatian untuk menghasilkan karya yang terbaik ialah dari aspek penggunaan bahasa yang menjadi jambatan kepada pembaca untuk menghayati tentang tema, persoalan atau plot yang digarap oleh pengarang. Karya sastera yang dihasilkan juga mempunyai strategi serampang dua mata – salah satunya sebagai bahan untuk meningkatkan penguasaan bahasa sehingga diperkenalkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu melalui KOMSAS. Oleh itu, pengarang perlu menyiapkan diri agar karya yang dihasilkan mampu melonjakkan penguasaan bahasa pembaca.
Sebelum karya berkenaan dihantar kepada editor, peranan yang perlu dimainkan oleh pengarang ialah memastikan tiada kesalahan bahasa dalam karya berkenaan. Seseorang pengarang perlu melakukan pengeditan dan pembacaan berulang supaya masalah asas ini tidak mengganggu kualiti sesebuah karya.
Menurut J.J Webber (1989), seseorang pengarang perlu melakukan pemilihan diksi yang sesuai dengan tema atau tajuk dan berkesan untuk mengungkapkan idea. Perkara ini dilakukan agar jalan cerita yang disampaikan selari dengan kosa kata yang digunakan.
Berdasarkan cerpen “Sugu Kumang”, pengarang jelas memilih kosa kata yang sesuai dengan latar masa, tempat dan masyarakat dalam cerita. Memandangkan cerpen ini bertemakan tentang konflik remaja yang melalui transisi menuju kedewasaan, maka laras bahasa yang mudah telah digunakan oleh pengarang untuk menyatakan tentang perasaan dan konflik yang berlaku antara watak-watak berkenaan. Berikut merupakan pemilihan diksi yang terdapat dalam dialog cerpen “Sugu Kumang”:
A1. “Kamu pergi sajalah Menti, saya tidak berminat” sekali lagi Sania menolak pelawaan Menti.
A2. “Tadi aku ada jumpa Narang dia tanya pasal kau” kata Menti dengan senyum sinis.
A3. “Sania…kamu jadi ke petang nanti main bola jaring” tanya Menti pada Sania.
Dialog-dialog tersebut dituturkan oleh dua watak utama yang menggerakkan plot cerpen berkenaan, iaitu watak Sania dan watak Menti. Ternyata dialog tersebut merupakan dialog dengan laras bahasa pertuturan bahasa seharian yang mudah. Perkara ini sesuai dengan watak dan tema yang dipilih.
Cuma ada beberapa kesalahan yang dikesan pada dialog berkenaan terutama dari aspek tanda baca. Tanda koma ( , ) perlu diletakkan sebelum penutup kata dalam dialog yang dibina. Perkara ini perlu difahami oleh pengarang supaya tidak melakukan kesilapan yang sama dalam penghasilan karya yang akan datang. Umpamanya, contoh A1 di atas perlu ditulis sebegini:
A1. “Kamu pergi sajalah Menti, saya tidak berminat,” sekali lagi Sania menolak pelawaan Menti.
Antara kesilapan lain yang sering dilakukan oleh penulis baharu adalah menggunakan perkataan ‘ke’ sebagai ganti kepada partikel ‘-kah’ dalam dialog. Tanda soal (?) juga perlu digunakan jikalau dialog itu merupakan ayat tanya. Kesalahan ini dilakukan dalam contoh A3. Ayat tersebut perlu ditulis :
A3. “Sania…kamu jadikah bermain bola jaring petang nanti?” tanya Menti pada Sania.
Kesilapan tentang tanda baca dalam dialog ini dilakukan oleh pengarang secara berulang sehingga boleh menjejaskan konsentrasi pembacaan.
Antara analisis yang dinilai ialah bagaimana suatu ayat yang dihasilkan dalam sesebuah karya itu diterjemahkan bentuknya. Menurut Webber, analisis pembentukan ayat dinilai daripada susunan ayat dari sudut panjang dan pendeknya. Pelbagai ayat yang dihasilkan akan menyebabkan karya yang dihasilkan menjadi lebih realistik apabila dibaca. Aspek bahasa karya juga dinilai, merangkumi aspek morfologi dan sintaksis yang akan menimbulkan gaya dan pemahaman yang berkesan terhadap pembaca.
Berdasarkan cerpen “Sugu Kumang”, penggunaan beberapa ayat pendek dalam cerpen berkenaan menimbulkan impak kepada pembaca melalui penguasaan struktur ayat yang bervariasi. Berikut adalah contoh ayat-ayat pendek yang digunakan pengarang :
B1. Sania terdiam.
B2. Dia tahu Narang sedang memerhatikannya.
B3. Dan ular itu bersayap!
Biarpun pengarang menggunakan ayat yang pendek, pembaca masih memahami maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang. Umpamanya, ayat B1 menunjukkan Sania yang tidak memberikan sebarang respons atas makluman yang disampaikan oleh Menti. Selain itu, ayat B3 memberikan unsur penegasan dan saspens kepada pembaca tentang keadaan ular yang mengiringi Menti sewaktu dia pergi ke rumah nenek Tambong.
Dalam cerpen ini juga, pengarang sering menggunakan dua perkataan daripada golongan kata yang sama bagi memantapkan makna. Usaha tersebut menunjukkan keberanian pengarang memberikan variasi dalam karyanya. Berikut merupakan contoh penggunaan yang telah dilakukan oleh pengarang:
D1. Namun dalam diam dia tidak pernah merasa curiga pada Menti yang dia anggap sebagai sahabat baik itu tapi dalam diam, punya rasa iri dan dengki padanya.
D2. Bukan setakat Sania pelajar pintar dan bijak tapi menjadi rebutan dan kegilaan pelajar-pelajar lelaki mahupun sesiapa yang memandangnya.
Contoh yang pertama, Menti menunjukkan perasaan iri dan dengki yang mempunyai makna yang hampir sama. Pengarang menggunakan dua perkataan tersebut untuk mengukuhkan makna yang ingin ditekankan pada watak berkenaan. Perkataan ‘iri’ dan ‘dengki’ merupakan kategori sinonim yang membawa maksud yang sama, iaitu suatu keadaan cemburu. Begitu juga dengan contoh kedua yang menunjukkan kepandaian watak Sania. Pengarang menggunakan kata ‘pintar’ dan ‘bijak’ untuk memberikan penekanan tentang gambaran perwatakan Sania.
Selain itu, pengarang ada menggunakan ayat yang panjang untuk mendeskripsikan latar dan perlakuan watak. Perhatikan contoh berikut :
Namun, pertemuan itu tanpa bicara, sepantas kilat Sania menyambar plastik yang sudah terisi barang di dalam, dia menyusun langkah lalu beredar tidak menyapa mahupun bersuara hanya pandangan mata pelontar kata, dia kelu dan jadi bisu setiap kali apabila berdepan dengan Narang, getar dan gemuruh sukmanya.
Jika diteliti ayat pertama secara teliti, terdapat 45 patah perkataan yang digunakan dalam ayat tersebut. Jelas menunjukkan bahawa ayat ini menunjukkan kehadiran struktur ayat panjang yang dihasilkan pengarang. Penggunaan struktur ayat panjang secara tidak langsung memperlihatkan gaya penulisan Veronica Chendang yang kreatif dan berani menghasilkan bait-bait penulisan yang berstruktur panjang. Walau bagaimanapun, kepanjangan ayat yang dihasilkan itu mestilah selari dengan hukum tatabahasa untuk menjaga kegramatisan ayat berkenaan. Berikut adalah pembetulan keseluruhan ayat berkenaan yang boleh diaplikasikan oleh pengarang untuk penambahbaikan :
Namun, pertemuan itu tanpa bicara dan sepantas kilat Sania menyambar plastik yang sudah terisi barang di dalam, menyusun langkah lalu dia beredar tanpa menyapa mahupun bersuara; hanya pandangan mata pelontar kata kerana dia akan kelu dan bisu setiap kali berdepan dengan Narang yang menggetar dan menggemuruhkan sukmanya.
Menurut Rahman Shaari, bahasa amat penting dalam menghidupkan dan menyegarkan karya sastera sepertimana penerapan metafora, simile, personifikasi dan gaya bahasa yang lain. Elemen-elemen itu adalah bonus atau kredit bagi pengarang jikalau mampu memasukkan gaya bahasa tersebut dalam karya prosa. Cuma dalam bahasa, ada yang lebih utama seperti penggunaan imbuhan yang wajib dipatuhi oleh pengarang. Sebab itu, pengarang tidak boleh tersilap menggunakan imbuhan yang akan menjejaskan makna dan kegramatisan ayat dalam karya berkenaan. Berikut merupakan kesilapan dalam penggunaan imbuhan dalam cerpen “Sugu Kumang” :
C1. di cemburui sepatutnya ditulis dicemburui
C2. di anjurkan sepatutnya ditulis dianjurkan
C3. di lupakan sepatutnya ditulis dilupakan
Terdapat beberapa kesilapan bahasa lain yang dikesan dalam cerpen “Sugu Kumang” yang perlu diambil perhatian oleh pengarang agar kesilapan yang sama tidak berulang dalam karyanya yang akan datang. Perhatikan contoh berikut:
Menti pula hanya lulus dengan kepujian tidak sebegitu cemerlang seperti Sania.
Sepatutnya ayat tersebut ditulis seperti ini: Menti pula hanya lulus dengan kepujian berbanding dengan keputusan cemerlang Sania.
Ada beberapa lagi ayat dalam cerpen berkenaan yang mempunyai kesilapan yang hampir sama. Motinggo Busye (1937-1999), seorang penulis Indonesia ada mengatakan bahawa tidak ada pengarang yang mampu menjadi pengarang tanpa membaca buku. Sememangnya pandangan yang sama turut dikongsikan oleh penulis-penulis hebat dunia tentang pentingnya tabiat membaca yang akan mampu melonjakkan ketajaman pengarang dalam menyusun idea dan juga penguasaan bahasa.
Dari aspek naratif atau binaan plot cerpen berkenaan, sememangnya pengarang berjaya mengolahnya dengan baik yang menggambarkan perasaan iri hari Menti terhadap kelebihan Sania sehingga dia menggunakan khidmat Nek Tambong yang merupakan seorang bomoh. Pengarang ingin mengambarkan citra budaya masyarakat yang sanggup menggunakan ilmu hitam untuk mencapai cita-cita mereka. Biarpun mereka tahu bahawa tindakan mereka itu boleh mendatangkan mudarat yang lebih besar namun mereka sanggup menanggung risiko tersebut. Itulah yang terjadi kepada Menti apabila dia melanggar pantang larang dengan mengambil “Sugu Tinggi” daripada Nek Tambong. Bomoh tersebut mengugut untuk memberikan sumpahan supaya muka Menti akan hodoh selamanya. Cerpen tersebut diakhiri dengan Menti dan emaknya telah diarah keluar dari kampung berkenaan. Mereka telah berpindah ke satu kawasan di atas sebuah bukit, iaitu satu jam perjalanan dari kampung lamanya.
Naratif yang disampaikan oleh pengarang ditulis dengan lancar. Pengarang juga memasukkan unsur saspens apabila watak Menti mengambil “Sugu Tinggi” daripada Nek Tambong. Unsur saspens juga terasa apabila Sania berasa ada sesuatu yang merayap di seluruh mukanya. Badannya pula terasa panas dengan keadaan kulit dan kakinya yang seolah-olah terbakar sehingga Sania menjadi tidak tentu arah. Ketegangan semakin memuncak apabila Nek Tambong hadir ke tempat pertandingan dan meminta “Sugu Tinggi” daripada Menti.
Sepatutnya, pengarang juga perlu menerangkan kepada pembaca, apakah yang dimaksudkan dengan “Sugu Tinggi” dalam cerpen berkenaan. Hal ini menyebabkan pembaca tercari-cari sehingga impaknya kurang terasa. Gambaran yang diberikan oleh pengarang agak kabur dan terasa kurang dihayati.
Pengakhiran cerpen “Sugu Tinggi” juga disampaikan menggunakan teknik penceritaan langsung yang kurang memberikan kesan emosi dan kesan estetika kepada pembaca. Cuma kelebihan teknik ini ialah pengarang dapat menyampaikan pengajaran secara jelas. Pembaca akan dapat memahami hasrat yang ingin disampaikan kepada pembaca. Walau bagaimanapun, keupayaan berfikir pembaca tidak dicabar kerana pengarang menyampaikan semuanya secara terus dan telus.
Satu pujian perlu diberikan kepada Veronica Chendang sebagai pengarang cerpen “Sugu Kumang” apabila telah memasukkan elemen budaya dalam cerpennya yang diadun dengan kisah persahabatan dan cinta, dua perkara yang sinonim dengan kehidupan remaja. Keberanian ini perlu diteruskan oleh pengarang untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza dalam karyanya pada masa akan datang. Bakat pengarang jikalau diasah dengan pembacaan berkualiti dan disiplin penulisan yang berterusan, pastinya akan menghasilkan karya yang berbeza.
Jikalau pada awal penulisan ini telah dipetik kata-kata Helen Rowland yang akhirnya menunjukkan keberanian dan kemenangan awal pengarang atas keberaniannya menghasilkan karya ini, saya ingin mengakhiri esei ini dengan memetik kata-kata William Kennedy – seorang penulis Amerika yang menegaskan: Menulis adalah seni yang rumit, sungguh rumit memahami apa yang kau cuba keluarkan dari imaginasimu sendiri dan juga dari kehidupanmu sendiri.
Semoga Veronica Chendang terus mampu mengeluarkan imaginasi dan kreativiti dari dalam diri. Saya sangat yakin, semua itu mampu dilakukan dengan bakat yang dimiliki.