SIMANGGANG, 7 Oktober: Menikmati hidangan yang menggabungkan keunikan cita rasa Malaysia dan Indonesia kini menjadi satu lagi pilihan buat penggemar makanan di sekitar Bandar Simanggang menerusi kehadiran sebuah gerai baharu di Medan Selera Awada.
Berada di gerai nombor lima di Medan Selera Awada, perniagaan milik Mohammad Azlan Shah Ismadi itu mengetengahkan konsep yang menghimpunkan pelbagai hidangan popular dari kedua-dua negara dalam satu lokasi.
Antara menu utama yang ditawarkan ialah Nasi Lemak Pandan, Bakso, Mi Ayam Wonogiri dan Soto Ayam, selain beberapa hidangan lain bagi memenuhi selera pelanggan daripada pelbagai peringkat usia.
Bagi penggemar nasi lemak, menu Nasi Lemak Duda Padu menawarkan beberapa pilihan, termasuk Nasi Lemak Biasa, Nasi Lemak Ayam Rangup, Nasi Lemak Sotong Sambal serta Nasi Lemak Sotong Bakar.

Gabungan nasi lemak yang sinonim dengan masakan Malaysia bersama pilihan lauk yang pelbagai memberikan kelainan kepada pelanggan, khususnya mereka yang menggemari hidangan berasaskan nasi.
Sementara itu, penggemar masakan Indonesia boleh mencuba Bakso Story yang terdiri daripada Bakso Biasa, Bakso Rudal dan Bakso Special.
Menurut Mohammad Azlan Shah, menu bakso antara hidangan yang mendapat sambutan sejak gerai berkenaan mula beroperasi di Medan Selera Awada pada penghujung September lalu.
Katanya, sambutan yang diterima sejak memulakan perniagaan bersama rakannya amat menggalakkan sehingga mereka tidak menang tangan, terutama pada waktu tertentu apabila pelanggan mula memenuhi gerai.
“Antara menu yang paling mendapat perhatian dan sering habis dengan cepat ialah bakso dan nasi lemak,” katanya.



NASI Lemak Sotong Bakar, Nasi Lemak Ayam Rangup dan Bakso Rudal antara menu yang paling popular terdapat di gerai nombor lima, Medan Selera Awada. Foto Adi Safarman
Selain itu, menu lain turut merangkumi Soto Ayam, Soto Daging, Mi Ayam, Bubur Ayam, Bubur Daging serta Mi Ayam Wonogiri, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang ingin mencuba hidangan bercita rasa Indonesia.
Menurutnya, konsep perniagaan itu bukan sekadar menawarkan pelbagai jenis makanan, malah mengetengahkan pengalaman menikmati dua identiti kulinari dalam satu lokasi.
Cita rasa Malaysia yang dekat dengan selera tempatan digabungkan dengan hidangan popular Indonesia yang mempunyai keunikan tersendiri, sekali gus memberikan pilihan baharu kepada pencinta makanan di Bandar Simanggang.
Dalam mengembangkan perniagaan, aspek rasa, kualiti makanan dan kepuasan pelanggan turut diberi perhatian bagi memastikan setiap hidangan yang disediakan memenuhi jangkaan pengunjung.
Kehadiran gerai berkenaan juga menambah kepelbagaian pilihan makanan kepada penduduk tempatan serta pengunjung yang mencari hidangan berbeza dalam suasana santai dan mesra pelanggan.


MI Ayam Wonogiri dan Soto Ayam juga terdapat di gerai nombor lima, Medan Selera Awada. Foto Adi Safarman
Dengan pilihan menu seperti nasi lemak, bakso, soto, mi ayam dan bubur, pelanggan mempunyai pelbagai pilihan mengikut cita rasa masing-masing.
Kehadiran gerai nombor lima di Medan Selera Awada memperlihatkan bagaimana kreativiti dan keberanian mencuba konsep baharu mampu menghasilkan pilihan kulinari yang menarik untuk masyarakat setempat.
Jika sambutan yang diterima sejak penghujung September lalu terus konsisten, gerai berkenaan berpotensi menjadi antara lokasi pilihan penggemar makanan di Bandar Simanggang yang ingin menikmati gabungan cita rasa Malaysia dan Indonesia dalam satu lokasi.
Oleh Adi Safarman





